Belanjawan 2026: Nelayan Pulau Pinang bersyukur namun berharap ada penambahbaikan

Iklan
Nelayan Pulau Pinang berharap kerajaan dapat meneliti semula beberapa keperluan mendesak termasuk had kuota minyak bagi bot kecil serta agihan peruntukan RM20 juta. Gambar hiasan

GEORGE TOWN- Golongan nelayan di negeri ini menyambut baik pengumuman Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengekalkan bantuan sedia ada termasuk elaun sara hidup dan subsidi minyak nelayan pada kadar RM1.65 seliter.

Bagaimanapun, mereka berharap kerajaan dapat meneliti semula beberapa keperluan mendesak termasuk had kuota minyak bagi bot kecil serta agihan peruntukan RM20 juta yang dilihat lebih memihak kepada pengusaha bot besar.

Iklan
Iklan

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Mazlan Abdul berkata, nelayan amat menghargai usaha kerajaan mengekalkan elaun sara hidup yang diperkenalkan sejak zaman kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana ia menjadi keperluan penting dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Arshad, Mazlan, Badrul

Iklan

“Elaun ini amat membantu kerana pendapatan nelayan tidak menentu, bergantung kepada hasil tangkapan.

"Walaupun hasil berkurang, mereka tetap turun ke laut kerana itu lah mata pencarian mereka,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Iklan

Namun katanya, kerajaan perlu mengambil kira beban ditanggung nelayan zon A yang menggunakan enjin besar iaitu 115 kuasa kuda ke atas tetapi hanya diberikan kuota petrol 50 liter sehari, menyebabkan mereka terpaksa membeli petrol tambahan pada harga pasaran RM2.60 seliter.

“Nelayan yang menggunakan pukat ikan kembung misalnya, boleh menggunakan lebih 100 liter sehari. Jadi kuota sedia ada memang tidak mencukupi.

"Nelayan memainkan peranan penting dalam menjamin bekalan makanan negara kerana sumber laut menjadi keperluan harian rakyat," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Jelutong, Badrul Hisham Hashim berkata, walaupun kerajaan mengekalkan bantuan asas seperti tahun-tahun sebelumnya, jumlah keseluruhan bantuan dalam Belanjawan 2026 masih dianggap kecil berbanding keperluan sebenar nelayan pantai.

“Subsidi minyak masih sama, elaun RM300 pun kekal. Tetapi peruntukan RM20 juta yang diumumkan lebih banyak akan dinikmati oleh bot besar kategori B, C dan C2 yang menggunakan minyak diesel serta menggaji ramai kru asing,” katanya.

Dia kemudiannya mencadangkan agar kerajaan memastikan peruntukan itu turut diagih kepada nelayan zon A walaupun jumlah kru mereka lebih kecil.

“Ia boleh disalurkan dalam bentuk bantuan alatan tangkapan atau naik taraf kemudahan nelayan pantai.

"Rumah nelayan juga perlu diberi perhatian kerana menjadi nadi kepada keluarga mereka terutama di kawasan pesisir yang nilai tanahnya semakin meningkat,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Arshad Omar turut menzahirkan rasa syukur kerana kerajaan kekal prihatin terhadap nasib nelayan walaupun hasil tangkapan kini semakin berkurangan akibat cuaca tidak menentu dan musim monsun.

“Alhamdulillah, elaun RM300 dan insentif pendaratan masih dikekalkan, minyak pun kekal pada RM1.65. Ini sangat membantu terutama bila musim ribut melanda Pantai Barat, ramai nelayan tak dapat turun ke laut,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Arshad, nelayan tetap berharap agar kerajaan dapat menambah baik skim bantuan dan subsidi agar lebih adil kepada nelayan kecil yang berdepan cabaran besar daripada segi kos operasi, hasil tangkapan dan faktor cuaca.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Madani kerana terus memahami nasib nelayan, tetapi perlu ada penambahbaikan supaya bantuan ini benar-benar sampai kepada golongan yang layak,” katanya.

Kerajaan memperuntukkan elaun sara hidup nelayan sehingga RM300 sebulan dan insentif hasil tangkapan diberikan dengan peruntukan 160 juta ringgit bagi Belanjawan 2026.

Anwar berkata, kerajaan tetap mengekalkan diesel bersubsidi RM1.65 seliter khusus untuk nelayan.