Kejar dari Gua Musang ke Raub, kereta bawa dadah terbabas depan balai polis

Iklan
Aksi kejar-mengejar dari Gua Musang ke Raub berakhir dramatik apabila kereta dinaiki dua lelaki dan tiga wanita warga asing terbabas di hadapan Balai Polis Dong. Foto PDRM

RAUB - Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan bersama tiga wanita warga asing selepas kereta dinaiki mereka terbabas di hadapan Balai Polis Dong di sini, dalam kejadian kejar-mengejar yang bermula di Gua Musang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi apabila sepasukan anggota Unit MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang mengesan sebuah kereta Proton Preve berwarna perak dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tanah Putih, Gua Musang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, apabila diarahkan berhenti, pemandu kenderaan berkenaan enggan berbuat demikian dan terus memecut laju secara berbahaya menuju ke arah Raub.

“Kereta terbabit akhirnya terbabas selepas melanggar tiang lampu isyarat serta sebuah kenderaan lain di hadapan Balai Polis Dong.

Iklan

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga warga Indonesia tanpa dokumen sah di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Shahril berkata, hasil pemeriksaan lanjut turut menemui 34 biji pil disyaki dadah jenis yaba serta satu peket disyaki mengandungi syabu.

Iklan

Jelasnya, siasatan mendapati nombor pendaftaran kenderaan tersebut adalah palsu.

“Dua lelaki tempatan terbabit dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ atau pengangkut migran dengan menerima bayaran bagi membawa warga asing dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Tambah Mohd Shahril, dua suspek utama turut ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) bagi membantu siasatan.

Beliau menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran atau pemerdagangan manusia.

“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti sedemikian kepada Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-355 2222,” katanya.