SHAH ALAM - Cadangan kerajaan untuk memperluaskan pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM3,000 bagi perbelanjaan yuran pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar untuk anak-anak berumur sehingga 12 tahun adalah selaras dengan keperluan sebenar ibu bapa masa kini.
Pengasas dan Pengerusi Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia (PPJKKM), Simon Ng berkata, langkah itu turut mencerminkan pendekatan kerajaan yang prihatin dan berpandangan jauh dalam Belanjawan 2026.
“Kerajaan memahami keperluan ibu bapa untuk mendapatkan pusat jagaan kanak-kanak berdaftar bagi anak-anak berusia 12 tahun ke bawah selepas waktu sekolah.
“Melalui pelepasan cukai ini, ibu bapa bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan, malah turut digalakkan memilih pusat jagaan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme serta kualiti perkhidmatan pusat-pusat jagaan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan berkenaan yang akan berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2026.
Beliau berkata, sebelum ini pelepasan cukai hanya diberikan bagi yuran taman asuhan atau taman didikan kanak-kanak untuk anak-anak berumur sehingga enam tahun sahaja.
Dalam pada itu, Simon berkata, usaha berkenaan juga ternyata memberi manfaat berganda kepada ibu bapa yang kini boleh bekerja dengan lebih tenang kerana anak-anak mereka berada di persekitaran jagaan yang selamat, terkawal dan berkualiti.
“Dasar baharu ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa, malah turut mengiktiraf peranan penting pusat jagaan berdaftar dalam pembangunan sosial dan penjagaan kanak-kanak di Malaysia.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, serta Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, dan seluruh pegawai yang terlibat atas usaha mereka memperjuangkan kebajikan pusat jagaan berdaftar di Malaysia,” katanya.