PAPAR- Peruntukan sebanyak RM765 juta bagi melengkapkan rangkaian projek grid elektrik Southern Link dalam Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan membantu Sabah mencapai kestabilan bekalan tenaga secara menyeluruh, sekali gus menoktahkan isu legasi gangguan elektrik yang berlarutan sejak sekian lama.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek yang dirancang sejak tahun 1980-an itu akhirnya direalisasikan melalui peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, projek Southern Link yang merangkumi rangkaian sejauh 330 kilometer dengan kapasiti 275 kilovolt (kV) akan melengkapkan keseluruhan sistem grid Sabah yang selama ini tidak menyeluruh, khususnya bagi sambungan ke kawasan pantai timur.
“Projek ini telah dirancang sejak lebih 10 tahun lalu namun tidak pernah diluluskan. Alhamdulillah, menerusi Belanjawan 2026, kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan bagi meneruskan fasa kedua pembinaan selepas fasa pertama sepanjang 60 kilometer dimulakan menggunakan dana Sabah Electricity (SE) sendiri.
“Apabila grid ini siap sepenuhnya, ia akan memastikan kawasan pantai timur tidak lagi terjejas sekiranya berlaku gangguan besar seperti insiden tanah runtuh yang menjejaskan pencawang utama baru-baru ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pembangunan Pawagam Komuniti 10 Star Cinemas bersama WSG Properties dan WK Konsortium di Kinarut, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM6.9 bilion kepada Sabah, menjadikan negeri ini penerima terbesar dalam bajet berkenaan, dengan RM1.2 bilion daripadanya dikhususkan bagi memperkukuh sektor elektrik.
Armizan menjelaskan, pembangunan Southern Link merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan Persekutuan untuk membantu kerajaan negeri memulihkan kestabilan bekalan elektrik, walaupun bidang kuasa kawal selia tenaga telah dikembalikan kepada Sabah melalui rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM880 juta diperuntukkan untuk subsidi sokongan tarif, subsidi bahan api dan subsidi solar berskala besar, meningkat daripada RM700 juta pada tahun 2025.
“Kerajaan maklum tarif elektrik di Sabah lebih rendah berbanding negeri lain dan kerajaan negeri belum bercadang menaikkan kadar itu buat masa ini kerana mahu memastikan kestabilan bekalan terlebih dahulu.
“Justeru, subsidi diteruskan bagi menjamin rakyat menikmati tarif yang mampu milik tanpa gangguan bekalan serius,” katanya.
Selain itu, Armizan berkata, sebanyak RM189.8 juta turut disalurkan bagi projek bekalan elektrik luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), manakala RM128 juta diperuntukkan untuk projek sambungan bekalan elektrik yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah di bawah PETRA, Kementerian Tenaga dan Transformasi Air.
Tambahnya, ketika ini SE masih berada di bawah pemilikan majoriti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan pegangan saham 82 peratus, manakala kerajaan negeri memiliki 17 peratus.
“Struktur ini akan kekal buat sementara waktu dan kerajaan negeri hanya akan mengambil alih sepenuhnya selepas proses transformasi SE disiapkan menjelang tahun 2030,” katanya.