Belanjawan 2026: Kerajaan wajar nilai semula struktur industri padi dan beras

Iklan

ALOR SETAR - Kerajaan wajar menilai semula struktur industri padi dan beras negara yang disifatkan terlalu monopolistik serta menekan pesawah di peringkat ladang.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, industri ini memerlukan perubahan struktural menyeluruh, terutama berkenaan mekanisme penentuan harga padi dan beras yang lebih adil dan telus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi memastikan nasib pesawah benar-benar terbela, struktur ini wajar dibuka secara terkawal bagi mewujudkan persaingan sihat yang akhirnya akan menguntungkan pesawah dan pengguna.

“Monopoli dalam pembelian padi dan pengedaran beras mengehadkan pilihan pesawah dan menekan harga di peringkat ladang.

Iklan

“Walaupun Belanjawan 2026 memperuntukkan RM2.62 bilion bagi pelbagai subsidi dan bantuan, jumlah itu tidak membawa perubahan ketara terhadap pendapatan pesawah kerana hanya sekitar 30 peratus disalurkan terus kepada mereka menerusi Subsidi Harga Padi (SHP), iaitu RM500 bagi setiap tan metrik padi yang dihasilkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Abdul Rashid berkata, peruntukan selebihnya diagihkan kepada subsidi baja, racun, benih serta perkhidmatan bajak dan tuai yang manfaatnya diterima oleh vendor dan pembekal input pertanian, bukan pesawah secara langsung.

Iklan

“Peruntukan RM2.62 bilion untuk pelbagai subsidi dan bantuan kepada pesawah adalah jumlah normal yang dibentangkan setiap tahun, dengan sedikit perbezaan beberapa juta ringgit,” ujarnya.

Menurutnya, PeSAWAH menghargai pengumuman kenaikan insentif pembajakan kepada RM160 sehektar dan insentif penuaian RM50 sehektar di bawah Belanjawan 2026, namun menegaskan langkah itu bukan perkara baharu kerana telah diumumkan sejak empat musim penanaman sebagai sebahagian daripada rasionalisasi subsidi diesel.

“Pesawah masih menunggu pelaksanaan penuh insentif tersebut sedangkan kami telah lama menanggung kenaikan harga diesel. Kami harap kerajaan segerakan pelaksanaannya, bukan sekadar pengumuman atas kertas,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kenaikan kos input pertanian yang sering berlaku setiap kali kerajaan menambah insentif baharu, menyebabkan keuntungan bersih pesawah kekal rendah walaupun jumlah peruntukan meningkat setiap tahun.

“Kami hargai jumlah perbelanjaan tahunan yang besar, namun ia tidak lestari untuk jangka panjang. Tanpa perubahan struktur industri, pesawah akan terus terperangkap dalam kitaran pendapatan rendah,” ujarnya.

Abdul Rashid turut membangkitkan ketiadaan Elaun Sara Hidup Pesawah atau Elaun Tunggu Tuai (ETT) sebanyak RM600 semusim dalam Belanjawan 2026, sedangkan bantuan itu pernah diberikan pada 2023 dan diteruskan pada 2024, namun ditarik balik pada tahun ini tanpa penjelasan.

“PeSAWAH telah cadangkan supaya elaun itu dikembalikan secara tetap, bukan one-off seperti diberikan kepada nelayan dan penoreh getah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan menyokong hak pesawah untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih padi tradisi serta varieti baharu yang dihasilkan sendiri.

“Amalan ini sebahagian daripada kedaulatan petani dan boleh mengurangkan kebergantungan kepada benih yang dikawal syarikat besar. Kerajaan wajar beri insentif kepada pesawah yang mengamalkan sistem benih tradisi bagi memelihara biodiversiti,” tambahnya.

Tambah beliau, PeSAWAH bersedia bekerjasama dan berdialog dengan kerajaan bagi memastikan reformasi struktur industri padi dan beras dapat direalisasikan demi kelestarian pendapatan pesawah serta kedaulatan makanan negara.