Belanjawan 2026: Negeri Sembilan terima manfaat, harap projek pembangunan disegerakan

Iklan
Aminuddin (tengah) pada Program Nafi Guru Madani di sebuah hotel di Seremban pada Sabtu.

SEREMBAN -Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat melibatkan peningkatan peruntukan dapat memberi manfaat besar kepada pembangunan Negeri Sembilan dan berharap pelaksanaannya dapat disegerakan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelaksanaan segera amat penting memandangkan banyak projek pembangunan dirancang di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) tertangguh.

Iklan
Iklan

“Belanjawan kali ini banyak memberi manfaat kepada rakyat namun apa yang penting adalah bagaimana pelaksanaan itu dapat disegerakan.

“Ini kerana kita sudah melalui RMK13 dan saya rasa bahawa kerja-kerja yang tertunggak atau tertangguh perlu disegerakan,” katanya mengulas mengenai Belanjawan 2026 ketika ditemui pada Program Nafi Guru Madani di sebuah hotel, di sini pada Sabtu.

Iklan

Aminuddin turut menyatakan beberapa projek penting yang memerlukan perhatian segera, termasuk pembinaan kompleks sukan di Rembau dan Gemas yang menurutnya tidak sepatutnya mengambil masa lebih dua tahun untuk disiapkan.

Bagaimanapun beliau memuji pendekatan kerajaan yang terus memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat melalui bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta peruntukan yang menyentuh keperluan asas termasuk pendidikan.

Iklan

“Pertambahan dari segi sumbangan dan bantuan yang diumumkan ini nampaknya memberikan gambaran yang baik. Ia penting untuk kita bantu rakyat, terutamanya dalam meningkatkan pendapatan mereka.

“Mengenai pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi, saya mengalu-alukan pengenalan pendidikan percuma ini. Ia memberi manfaat besar kepada golongan memerlukan. Harapan saya, ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” tambahnya.

Menerusi Belanjawan 2026, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan sejumlah peruntukan sebanyak RM470 bilion, melibatkan RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.