NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan (KPM) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam memartabatkan sistem pendidikan negara, bukan sahaja dari segi peruntukan malah sebagai tanda iltizam moral untuk terus memperkukuh sektor itu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, keutamaan yang diberikan kepada KPM dalam belanjawan kali ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan reformasi pendidikan secara menyeluruh.
“Kementerian Pendidikan Malaysia sekali lagi mendapat keutamaan dalam soal terkait rapat dengan pendidikan.
"Tetapi keutamaan ini bukan sahaja soal perbelanjaan malah adalah penyataan moral dan juga iltizam kita untuk terus memajukan pendidikan negara,” katanya kepada media selepas menghadiri Projek Penempatan Semula Ladang Byram di sini pada Sabtu.
Beliau menambah, antara aspek yang diberi perhatian dalam Belanjawan 2026 termasuk pembinaan sekolah baharu yang lebih kondusif, pengukuhan pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) serta pemerkasaan bahasa.
"Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri atas perhatian berterusan terhadap kebajikan pelajar melalui bantuan awal persekolahan yang dikekalkan.
“Belanjawan ini bagi kita sangat penting dan tepat pada masanya khususnya untuk mengangkat darjat, martabat dan kualiti pendidikan negara,” katanya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM419.2 bilion yang merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah negara.
Jumlah tersebut melebihi rekod perbelanjaan sebanyak RM412.1 bilion bagi tahun ini yang disemak semula daripada peruntukan awal RM421 bilion.
Belanjawan 2024 pula berjumlah RM407.5 bilion.