'Disasar laser, saya bersyahadah banyak-banyak' - Dr Fauziah

Iklan
Dr Fauziah berkongsi pengalaman pelayaran keduanya yang penuh cabaran termasuk detik cemas apabila helikopter tentera Israel melancarkan serangan laser ke arah kapal mereka.

SHAH ALAM - “Helikopter Israel yang di depan melancarkan laser dan menyasarkannya kepada saya. Saya bersyahadah banyak-banyak kerana menyangka saya menjadi salah satu sasaran mereka, memandangkan saya pernah ke sini sebelum ini.”

Itu perkongsian peserta misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) ke Gaza, Dr Fauziah Mohd Hassan, ketika ditemui Astro Awani selepas tiba di Istanbul, Turkiye pada malam Jumaat.

Iklan
Iklan

Beliau berkongsi pengalaman pelayaran keduanya yang penuh cabaran termasuk detik cemas apabila helikopter tentera Israel melancarkan serangan laser ke arah kapal mereka.

“Ada sebuah helikopter yang terbang sangat dekat dengan kapal dan angin sangat kuat. Saya duduk di bahagian paling depan kerana jawatan saya sebagai Steering Committee (SC) kapal. Saya rasa seperti hendak melayang, tetapi pegang kuat-kuat supaya tidak jatuh.

Iklan

“Alhamdulillah, banyak terkena laser pada kaki dan kepala, tetapi tiada kecederaan yang membahayakan. Namun, ada juga yang dikasari semasa insiden itu,” katanya.

Dr Fauziah turut menegaskan bahawa berdiam diri bukan pilihan apabila ada peluang untuk membantu mereka yang memerlukan.

Iklan

Jelasnya, misi itu menggunakan laluan laut mengikut undang-undang maritim antarabangsa bagi memastikan penghantaran bantuan ke Gaza dapat dilaksanakan tanpa sekatan.

Ujarnya, misi tersebut bukan sekadar penghantaran bantuan, tetapi simbol keberanian wanita yang menolak untuk berdiam diri serta berani memberi suara dan mencetuskan perubahan bagi mereka yang memerlukan di Gaza.

“Ramai merasakan tidak puas hati dan ingin melakukan sesuatu. Sebenarnya, tiada sebab untuk berdiam diri apabila peluang untuk memecahkan kepungan melalui laut terbentang luas,” katanya.

Dr Fauziah turut menekankan keberanian moral dalam misi kemanusiaan itu.

“Silence is not an option,” tegasnya.

Beliau berkata, setiap individu termasuk para ibu di rumah mempunyai keupayaan untuk menyokong misi kemanusiaan melalui kepakaran atau tindakan masing-masing, selain daripada sekadar berdoa.

Pada masa sama, Dr Fauziah menzahirkan kesyukuran selepas selamat tiba di Istanbul dan dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

“Ini merupakan pengalaman pelayaran kedua saya selepas kali pertama pada 2016. Pada kali ini, kami dibawa ke penjara Kezyot di Negev.

“Keadaan sangat berbeza dengan misi 2016 kerana kami diberi amaran bahawa serangan pihak berkuasa boleh berlaku dalam tempoh lima hingga 10 minit sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengesahkan semua sembilan kapal dalam misi bantuan kemanusiaan FFC x TMTG telah dipintas oleh tentera Israel (IDF) di perairan antarabangsa pada pagi Rabu.

Selain Dr Fauziah, tujuh lagi rakyat Malaysia yang berada dalam kapal utama Conscience ialah Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakirah Mohd Suhaimi, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, manakala Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.

Misi kemanusiaan itu membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan untuk rakyat Gaza, dan disertai oleh 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan rakyat Malaysia.