Perarakan bot semarak solidariti buat Palestin, rai wira GSF

Iklan
Deretan bot yang dihiasi bendera Palestin dan Jalur Gemilang mewarnai perairan Jambatan Angkat (Drawbridge) sempena Himpunan Taufan Al-Aqsa di Kuala Terengganu. FOTO: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)

KUALA TERENGGANU – Program perarakan bot sempena Himpunan Taufan Al-Aqsa di perairan Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini pada Jumaat menarik penyertaan lebih 300 peserta bagi menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

Penasihat Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu (PBSSNT), Muhammad Hamdi Harun berkata, sambutan diterima amat menggalakkan dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan belia dan keluarga.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, himpunan yang bermula sekitar jam 3 petang itu bukan sekadar sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan Palestin, tetapi turut diadakan bagi meraikan wira-wira Sumud Flotilla yang baru pulang ke tanah air.

Lebih 300 peserta menyertai perarakan bot sempena Himpunan Taufan Al-Aqsa sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin di perairan Jambatan Angkat (Drawbridge), Kuala Terengganu. FOTO: (Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)

Iklan

"Pada asalnya kita menjangkakan sekitar 300 orang penyertaan. Namun melihat kepada sambutan dan semangat masyarakat, jumlah itu dijangka melebihi anggaran itu.

"Ramai pihak ingin turut serta sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin serta meraikan keberanian para wira Sumud Flotilla,” katanya.

Iklan

Menurutnya, penganjuran perarakan tersebut bertujuan membangkitkan semula semangat terhadap perjuangan membebaskan bumi Palestin serta menyemarakkan kembali kesedaran solidariti dalam kalangan masyarakat.

"Perarakan bot ini menjadi simbol gelombang kebangkitan rakyat. Ia menunjukkan bahawa walaupun jarak memisahkan, umat Islam di Malaysia tetap bersama dalam doa, sokongan dan perjuangan membela bumi Al-Quds yang diberkati," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Muhammad Hamdi menegaskan, perjuangan Palestin bukan isu bermusim sebaliknya ujian keimanan dan maruah umat Islam yang perlu dipertahankan.

Katanya, anak muda juga perlu dididik bahawa membela Palestin adalah sebahagian daripada tanggungjawab iman dan ukhuwah Islamiah.

"Ketika dunia semakin sunyi dan seolah-olah melupakan penderitaan Gaza, kita mesti terus menyemarakkan kesedaran agar umat tidak lalai. Program seperti ini penting bagi memastikan api perjuangan tidak padam.

"Bukan sekadar melalui slogan, tetapi dengan tindakan, doa, infaq dan kesedaran berterusan," ujarnya.