SHAH ALAM - Grab Malaysia menyambut baik fokus Belanjawan 2026 yang memperkukuh sokongan kepada pekerja ekonomi gig serta mempercepat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan infrastruktur digital negara.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, inisiatif kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 seiring dengan misi syarikat untuk memberdayakan rakyat Malaysia melalui penyelesaian teknologi yang praktikal dan inklusif.
“Belanjawan ini menunjukkan komitmen kukuh kerajaan terhadap tadbir urus sektor awam yang cekap, ekonomi mampan berteknologi tinggi dan pembangunan bakat yang inklusif.
“Ini selari dengan misi kami untuk terus berkhidmat dan memperkasakan seluruh rakyat Malaysia agar mampu berkembang dalam landskap ekonomi yang dinamik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Malaysia komited untuk menerajui bidang AI dengan memperkukuh penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan daya cipta (RDCI) melalui peruntukan hampir RM5.9 bilion merentasi kementerian, dalam usaha mencapai status Negara AI menjelang tahun 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut menyalurkan hampir RM20 juta kepada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) bagi membangunkan bakat berkemahiran tinggi serta memperkukuh infrastruktur digital dan ekosistem AI negara.
Tambah Adelene, antara langkah yang dipuji termasuk program subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) yang membantu rakan pemandu e-hailing mengurus kos harian, khususnya bahan api.
Ujarnya, Grab Malaysia turut berharap program tersebut dapat dikembangkan kepada lebih ramai pekerja ekonomi gig pada masa hadapan.
“Komitmen kami terhadap kebajikan rakan niaga adalah keutamaan. Kami telah lama melabur dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka melalui perlindungan insurans, akses kepada caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), ciri keselamatan tambahan serta sokongan harian seperti bantuan pembiayaan dan penjimatan kos harian.
“Kami juga memperluaskan latihan kemahiran kepada rakan pemandu dan penghantar melalui GrabAcademy yang menyediakan modul keselamatan, pematuhan dan penggunaan alat digital.
“Usaha ini diperkuat menerusi kerjasama dengan GiatMara dalam menawarkan latihan teknikal dan vokasional untuk meningkatkan daya saing jangka panjang rakan niaga,” katanya.
Jelas beliau, Grab Malaysia kini sedang mempergiat penggunaan AI praktikal untuk mempertingkat pengalaman harian pengguna dan rakan niaga.
Menurutnya, inisiatif berkenaan termasuk GrabMaps berasaskan AI bagi ketepatan alamat dan laluan, AI Driver Companion untuk membantu pemandu mengenal pasti kawasan permintaan tinggi serta AI Merchant Assistant yang membantu perniagaan kecil mengoptimumkan operasi dan pertumbuhan.
“Inisiatif ini seiring dengan agenda kerajaan dalam Belanjawan 2026 untuk mempercepat penggunaan AI dan memperkukuh infrastruktur digital negara.
“Grab Malaysia akan terus melabur dalam rakan niaga dan teknologi supaya lebih ramai rakyat Malaysia boleh menjana pendapatan, berniaga dan bergerak dengan yakin dalam ekonomi digital,” ujarnya.
Grab turut menegaskan komitmen berterusan untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dan rakan industri dalam memacu pembangunan negara serta memastikan semua pihak bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.