SHAH ALAM - Peruntukan sebanyak RM6 bilion secara keseluruhan kepada Yayasan Peneraju, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Belanjawan 2026 bagi memperkukuh peluang pendidikan, bakal memperkasa 12,000 bakat Bumiputera berkemahiran tinggi, menjadikannya pengambilan tahunan terbesar dalam sejarah agensi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, ia meliputi pengambilan 2,000 Akauntan Bertauliah dan 10,000 pakar teknologi.
Menurutnya, tahun 2026 juga bakal menyaksikan detik bersejarah apabila, buat pertama kalinya, bilangan Akauntan Bertauliah Bumiputera yang berdaftar baharu dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) dijangka melebihi bilangan bukan Bumiputera.
"Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti, membimbing dan mengembangkan bakat Bumiputera, kami komited sepenuhnya untuk menyokong aspirasi Belanjawan 2026.
"Matlamat kami adalah untuk melahirkan 2,000 Akauntan Bertauliah dan 10,000 pakar teknologi dalam tahun yang sama, termasuk dalam bidang kritikal seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan dan Enterprise Resource Planning (ERP).
"Dengan peningkatan jumlah bakat teknologi Bumiputera berkemahiran tinggi, Malaysia berpotensi menarik lebih banyak syarikat antarabangsa dan pelabur untuk membangunkan operasi mereka di negara ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, laluan perakaunan Yayasan Peneraju menyediakan landasan pantas ke arah pentauliahan profesional, membolehkan pelajar mencapai status Akauntan Bertauliah seawal usia 21 tahun melalui program seperti Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).
Pada masa yang sama ujarnya, program teknologi Yayasan Peneraju turut menawarkan lebih daripada 90 pensijilan global merangkumi bidang seperti Ethical Hacking, Cybersecurity, Enterprise AI & Data Practitioner, serta ArchiMate® EA Foundation & Practitioner.
"Sejak mula beroperasi pada tahun 2012, YP telah berjaya melahirkan lebih 80,000 bakat Bumiputera dalam pelbagai bidang termasuk perakaunan, teknologi, perubatan dan akademik.
"Hari ini, agensi tersebut memberi tumpuan sepenuhnya kepada pensijilan profesional dan program berteraskan teknologi yang selaras dengan keutamaan nasional," katanya.