Belanjawan 2026: Reformasi menyeluruh sistem bantuan, subsidi perlu dibentang – Wan Saiful

Iklan
Wan Saiful

SHAH ALAM – Kerajaan disaran membentangkan satu Kertas Putih Reformasi Sistem Bantuan Kebajikan dan Subsidi yang komprehensif di Parlimen bagi memperkukuh pelaksanaan penyasaran subsidi dan meningkatkan kecekapan sistem bantuan negara.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, inisiatif tersebut penting agar bantuan dan subsidi dapat disalurkan secara tunai terus kepada individu yang layak, tanpa campur tangan orang tengah.

Iklan
Iklan

“Sistem pemberian secara terus ini telah diamalkan sejak tahun 2012 dan terbukti memberi manfaat secara langsung kepada penerima.

“Perkara paling menarik perhatian dalam Belanjawan 2026 ialah penekanan terhadap usaha penyasaran subsidi. Malaysia telah menanggung kos subsidi yang sangat tinggi dan jika dibiarkan berterusan, ia tidak akan lestari,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut beliau, sistem subsidi dan bantuan sedia ada perlu dikaji secara menyeluruh agar golongan B40 dan M40 menerima jumlah bantuan yang lebih adil dan wajar, memandangkan kos sara hidup dijangka terus meningkat.

“Penyasaran subsidi yang dilaksanakan kini dikatakan boleh menjimatkan sehingga RM15.5 bilion. Maka, melalui Belanjawan 2026, saya harap kerajaan mengambil peluang untuk semak semula mekanisme keseluruhan subsidi dan bantuan kebajikan negara,” katanya.

Iklan

Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan agar Malaysia mencontohi model 'Universal Credit' yang diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 2010.

“Reformasi sistem kebajikan UK yang diterajui oleh Menteri ketika itu, Duncan Smith telah menyatukan pelbagai mekanisme bantuan dan subsidi kepada satu sistem yang terangkum.

“Dengan satu permohonan sahaja, rakyat dapat mengakses semua bentuk bantuan yang layak mereka terima daripada pelbagai agensi. Ini jauh berbeza dengan sistem kita yang terlalu berpecah-pecah dan dibebani birokrasi,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu berkata, penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan berjaya menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun.

Jumlah itu termasuk penstrukturan tarif elektrik yang menjimatkan RM6 bilion, penyasaran subsidi diesel menjimatkan RM5 billion dan penyasaran subsidi petrol RON95 berpotensi menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion.

Pengapungan harga ayam dan telur pula masing-masing menjimatkan RM1 billion di samping harga bahan mentah itu di pasaran terus terkawal.