SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2026 berkenaan penegasan kerajaan dalam usaha membanteras rasuah, penyelewengan dan ketirisan yang merugikan negara.
SPRM dalam kenyataan berkata, belanjawan tersebut menzahirkan komitmen serius kerajaan untuk memperkukuh integriti, membanteras rasuah serta menutup ruang ketirisan hasil negara demi kesejahteraan rakyat.
"Tindakan tegas penguatkuasaan tanpa pilih kasih yang berjaya mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun membuktikan keberkesanan tindakan bersama agensi-agensi penguatkuasaan.
"Sehubungan itu, SPRM amat menghargai langkah kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta bagi memperkukuh keupayaan badan penguatkuasaan termasuk SPRM, khususnya dalam aspek latihan dan perolehan aset," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, SPRM menyambut baik penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan serta pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang merupakan reformasi institusi penting bagi menambah baik sistem perolehan dan memastikan ketelusan dalam pengurusan dana awam.
Selain itu, katanya, SPRM turut menyambut baik cadangan kerajaan untuk meluluskan potongan cukai bagi sumbangan kepada program pencegahan rasuah yang diiktiraf SPRM sebagai projek berkepentingan nasional.
"Inisiatif ini bakal membuka ruang kerjasama yang lebih erat dengan masyarakat sivil dan pihak swasta, seterusnya menggalakkan penglibatan rakyat dalam agenda pencegahan rasuah.
"SPRM menegaskan komitmennya untuk melaksanakan mandat secara bebas, telus dan profesional melalui pendekatan pendidikan, pencegahan serta penguatkuasaan," ujarnya.
Jelasnya, seiring aspirasi Belanjawan Madani 2026, SPRM yakin dengan sokongan rakyat, budaya integriti dapat diperkukuh, tatakelola baik dapat dipertingkatkan dan usaha pembanterasan rasuah terus diperkasa demi kesejahteraan dan faedah rakyat.