Kejayaan Belanjawan 2026 bergantung kepada kecekapan perbelanjaan, penyampaian perkhidmatan

Iklan
Dr Dzulkefly.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kejayaan pelaksanaan Belanjawan 2026 bergantung kepada dua faktor utama termasuk tahap kecekapan perbelanjaan dan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kejayaan Belanjawan Madani kali keempat itu tidak boleh sekadar lihat kepada jumlah peruntukan semata-mata.

Iklan
Iklan

"Yang paling penting adalah bagaimana kita membelanjakan dana tersebut secara efisien dan berkesan. Kita juga akan meneliti potensi penjimatan daripada tahun lalu bagi menjana semula sumber kewangan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan, khususnya menaik taraf kemudahan kesihatan.

"KKM akan terus memperluas pendekatan moden seperti membawa pakar ke klinik kesihatan di kawasan luar bandar, memperkukuh 'model clustering' antara hospital dan klinik, serta memperkenalkan pembedahan global di fasiliti yang lebih kecil untuk meningkatkan kecekapan sistem kesihatan negara," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Belanjawan 2026 merupakan Belanjawan Madani keempat sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran pada akhir 2022.

Iklan

Mengangkat tema Memacu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, belanjawan kali ini dijangka menekankan aspek pendigitalan perkhidmatan kerajaan, pembangunan tenaga boleh diperbaharui, dan peningkatan produktiviti sektor awam serta swasta.

Ujar Dr Dzulkefly, KKM menerima dua peruntukan besar iaitu RM46.5 bilion untuk pengukuhan sistem kesihatan awam dan RM66.74 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, termasuk peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berjumlah RM40 bilion yang diumumkan sebelum ini.

"Ini akan membantu mengimbangi keseluruhan perbelanjaan pembangunan KKM.

"Fokus utama kami adalah pembangunan sumber manusia. Saya melihat pendekatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II amat menekankan aspek suntikan semangat dan moral kepada warga KKM.

"Alhamdulillah, kami tetap bersyukur dengan peruntukan RM120 juta yang bakal memberi peningkatan kira-kira 40 peratus kepada elaun tugas atas panggilan, sama ada aktif atau pasif. Ini amat bermakna bagi para pegawai perubatan dan anggota kesihatan," ujarnya.