KUALA LUMPUR - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) diberi peruntukan sebanyak RM45 juta bagi memastikan kawalan di pintu masuk sempadan negara sentiasa dipertingkatkan.
Ia juga selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa khususnya berhubung kawalan di pintu sempadan.
"AKPS terus diberikan kepercayaan dalam mengawasi pintu sempadan negara.
"Peruntukan yang disalurkan ini adalah bagi memastikan agensi berkenaan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan melindungi sempadan," ulasnya
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak penubuhan AKPS, agensi itu telah menghalang masuk lebih 10,000 warga asing dan menyita barangan yang cuba dibawa masuk secara tidak sah.
"Untuk memenuhi keperluan 220 tenaga kerja yang diperlukan AKPS, keutamaan diberikan bagi melantik pegawai dalam kalangan veteran tentera bagi kesiapsiagaan penuh," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman Belanjawan 2026.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan atas peruntukan yang diberikan kepada agensi baharu ini.
"Perjalanan kami masih baharu dan sudah tentu mempunyai liku-liku tersendiri kelak. Pengalaman veteran dalam bidang keselamatan dam pertahanan negara amat kami tagih dalam menjayakan hasrat kerajaan," ujarnya.
Mohd Shuhaily berkata, disiplin dan kepakaran veteran tentera akan digunakan sebaik mungkin untuk memastikan AKPS menjadi agensi penguatkuasaan sempadan yang berwibawa dan bermaruah.