KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengungkap beberapa falsafah dalam bahasa Mandarin dan Tamil selain perkataan jarang didengar ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
Ketika mengumumkan peruntukan bagi Kementerian Pertahan dan Kementerian Dalam Negeri, beliau yang juga Menteri Kewangan menyebut ungkapan klasik tamadun China.
"Seperti diungkap dalam hikmah klasik Tamadun China purba, 'Jū ān sī wēi, sī zé yǒu bèi, yǒu bèi wú huàn yang bermaksud 'dalam damai, kita wajar berwaspada akan ancaman dan marabahaya."
"Falsafah besar dari karya sejarah agung dalam Catatan Musim Bunga dan Luruh berjudul Zuo Zhuan mengingatkan kita betapa kebijaksanaan pemerintahan menuntut kesiapsiagaan, bukan kealpaan dan kestabilan hanya teguh apabila disertai keinsafan akan rapuhnya nasib bangsa sekiranya leka dan alpa," katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menyebut ungkapan bahasa Tamil iaitu 'kedum perukkamum illalla nenjaththuk kotaamai saandrork kani' yang bermaksud susah dan senang silih berganti, namun keteguhan hati nurani adalah mercu tertinggi kemuliaan insan.
Anwar turut berkongsi petikan bait puisi Muhammad Haji Salleh bertajuk 'Sajak-Sajak Pendatang', Buya Hamka dipetik dari 'Tasauf Moden' dan petikan ayat dari buku 'The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time' oleh Kee Beng Ooi.
"Kita tidak hanya membina semula dinding dan bumbung, tetapi membangkitkan semangat supaya kota ini kembali berbicara mengenai siapa kita, dari mana asal kita dan ke mana kita menuju," katanya yang memetik daripada buku itu.
Beliau turut menyebut perkataan yang jarang didengari iaitu 'laih' di mana menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ia bermaksud daif dan biasa digunakan dalam dialek Kedah.