SHAH ALAM – Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai belanjawan bertanggungjawab dan berpaksikan rakyat dengan tumpuan terhadap pengukuhan ekonomi serta kesejahteraan sosial.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, belanjawan tersebut menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memperkukuh asas ekonomi negara secara mampan.
Menurutnya, belanjawan keempat di bawah pentadbiran Madani itu meletakkan Malaysia pada hala tuju yang tepat bagi mempercepat kemajuan ekonomi dan memperkukuh kedudukan sosioekonomi rakyat.
“Strategi ini penting untuk memastikan ekonomi Malaysia kekal kukuh serta terlindung daripada perubahan luaran agar pekerja tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana dapat berkembang secara berdaya saing.
“Peningkatan peruntukan kepada RM470 bilion berbanding RM452 bilion pada tahun ini mencerminkan keseriusan kerajaan melakar ekonomi negara secara aktif, sambil terus mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, pengiktirafan terhadap Selangor Aero Park bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan memposisikan Malaysia sebagai pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), logistik serta kargo serantau.
Tambahnya, langkah kerajaan meningkatkan peruntukan bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta menggubal Rang Undang-Undang TVET turut dianggap tepat bagi memperkasakan generasi muda agar memperoleh pekerjaan bergaji tinggi, khususnya dalam sektor strategik nasional.
Dalam masa sama, katanya, perhatian terhadap isu perubahan iklim dan bencana banjir diteruskan menerusi peruntukan kepada Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara termasuk RTB Sungai Buloh Fasa 2.
“Langkah menaikkan peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion bagi menangani tekanan kos sara hidup menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat,” ujarnya.
Ulasnya, sektor kesihatan awam turut diberi tumpuan dengan peningkatan peranan klinik kesihatan yang kini dilengkapi perkhidmatan pakar bagi mengurangkan kesesakan hospital kerajaan.
Amirudin berkata, peningkatan peruntukan pendidikan sebanyak RM2 bilion daripada RM64.2 bilion kepada RM66.2 bilion akan membolehkan pembinaan sembilan sekolah baharu di Selangor.
“Antaranya SK (Sekolah Kebangsaan) Alam Suria dan SMK Eco Grandeur di Kuala Selangor, SK Puchong Permai, SK Taman Desa (3) di Rawang, SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Kota Kemuning (2) dan SMK Setia Alam (2) di Shah Alam, SMK Cyberjaya (2) serta SMK Bukit Puchong di Sepang dan SK Pendidikan Khas Kota Damansara,” katanya.
Jelasnya, langkah memberi pelepasan cukai pendapatan RM3,000 kepada wanita yang mempunyai anak kecil bagi membantu kos yuran pusat asuhan serta pelepasan cukai kepada ibu bapa yang mempunyai anak autisme bagi tujuan pemeriksaan dan pengesanan awal turut dilihat mampu mengurangkan beban kewangan isi rumah.
"Dalam aspek pengangkutan awam, penambahan 310 bas dan 300 van baharu bagi mengatasi cabaran ‘first mile’ dan ‘last mile’ dijangka memudahkan rakyat Selangor beralih kepada penggunaan pengangkutan awam.
“Saya yakin Belanjawan Rakyat ini menterjemahkan keperluan nasional semasa dengan mengambil kira cabaran global, sekali gus memastikan kesejahteraan dan keutuhan sosioekonomi rakyat terus terpelihara pada tahun hadapan,” tambahnya.