SAM kecewa peruntukan alam sekitar tidak meningkat dalam Belanjawan 2026

Iklan
Sahabat Alam Malaysia kecewa Dana EFT kekal RM250 juta dalam Belanjawan 2026 - Gambar hiasan, gambar kecil: Meenakshi

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyuarakan kekecewaan terhadap Belanjawan 2026 apabila peruntukan bagi Dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kekal RM250 juta seperti tahun sebelumnya.

SAM menyifatkannya sebagai tidak mencukupi untuk memastikan kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab melindungi dan memulihkan hutan.

Iklan
Iklan

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, pihaknya berharap kerajaan meningkatkan jumlah peruntukan itu bagi memastikan hutan terutamanya kawasan tadahan air, dilindungi sepenuhnya demi kelestarian sumber air negara.

“RM50 juta yang diagihkan kepada kerajaan negeri walaupun dialu-alukan, terlalu kecil untuk memastikan perlindungan sumber asli dapat dijalankan dengan berkesan.

Iklan

“Kami juga kecewa kerana tiada penekanan terhadap perlindungan Central Forest Spine (CFS) serta pembentukan koridor hidupan liar bagi mengelakkan konflik manusia-hidupan liar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menzahirkan rasa kesal kerana tiada peruntukan khusus bagi membanteras kegiatan pemburuan haram, penyeludupan dan pemerdagangan flora serta fauna di negara ini.

Iklan

Dalam pada itu, Meenakshi berkata, SAM mengalu-alukan langkah kerajaan meneruskan pemberian rebat sebanyak RM20 juta bagi pembelian peralatan cekap tenaga kerana ia mampu menggalakkan gaya hidup lebih lestari dalam kalangan pengguna dan peniaga.

Bagaimanapun katanya, peruntukan bagi pembelian mesin pengisar sisa makanan sepatutnya disalurkan kepada program pendidikan alam sekitar dan pengguna bagi mendidik masyarakat mengenai amalan kehidupan lestari.

“Kami kecewa kerana tiada peruntukan diberikan kepada kumpulan alam sekitar dan pengguna untuk melaksanakan program pendidikan sedemikian,” ujarnya.

Beliau turut menyambut baik usaha kerajaan meneruskan aktiviti pemetaan sumber nadir bumi dengan peruntukan RM10 juta, namun berharap kawasan sensitif alam sekitar dan wilayah masyarakat Orang Asli dikecualikan sepenuhnya daripada sebarang aktiviti pemetaan.

Selain itu, pihaknya turut memuji inisiatif Solar Madani yang akan diperluaskan ke seluruh negara selepas kejayaan pemasangan 4,000 lampu solar di Sabah baru-baru ini.

Bagi aspek perlindungan hutan, Meenakshi menyatakan sokongan terhadap peruntukan RM80 juta bagi melantik 2,500 renjer komuniti namun berharap usaha itu turut memberi tumpuan kepada pencegahan pemburuan dan pemerdagangan hidupan liar.

"Mengenai peruntukan RM300 juta bagi rawatan, penyelenggaraan dan pembersihan sungai termasuk RM10 juta untuk projek National River Trail, SAM mengalu-alukan langkah tersebut tetapi menyatakan kekecewaan kerana tiada peruntukan tambahan bagi penguatkuasaan dan pemantauan pencemaran air dan udara," katanya.

Dalam pada itu, Meenakshi berkata, SAM menyokong langkah kerajaan memperkenalkan cukai karbon ke atas sektor besi, keluli dan tenaga namun mahu melihat perincian lanjut bagi menilai keberkesanannya dalam mengurangkan pelepasan karbon negara.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap tumpuan kerajaan kepada pembangunan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) kerana sektor itu menggunakan tenaga dan air yang tinggi.

“Perkara ini boleh meningkatkan kos peralihan tenaga negara dan masih belum diambil kira dalam National Energy Transition Roadmap (NETR),” katanya.

Dalam masa sama, Meenakshi berkata, SAM mengalu-alukan peruntukan RM460 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi pengurusan bencana dan RM210 juta untuk sistem amaran awal yang disifatkan penting dalam menghadapi ancaman banjir lebih kerap akibat perubahan iklim.

"Kita turut menyokong langkah kerajaan untuk meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

"Bagaimanapun, perundingan bermakna perlu diadakan bersama masyarakat Orang Asli dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan hak adat mereka benar-benar dilindungi," katanya.