KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memperluas pelaksanaan Bantuan Insentif Berasaskan Prestasi kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam perkhidmatan awam Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini bertujuan mengiktiraf prestasi cemerlang penjawat awam yang telah lama berkhidmat tetapi masih menunggu peluang kenaikan pangkat disebabkan kekangan struktur perjawatan.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan insentif ini akan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
“Melalui peluasan ini, pegawai yang berada dalam skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya hanya tertakluk kepada kekosongan jawatan akan turut layak.
“Selain itu, individu tersebut mestilah telah berkhidmat sekurang-kurangnya enam atau lapan tahun, bergantung kepada gred jawatan semasa,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Jumaat.
Tambah Anwar, penjawat awam yang menunjukkan prestasi baik dan cemerlang akan menerima insentif khas bersamaan nilai satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) mengikut gred jawatan semasa, yang akan dibayar secara bulanan.
Langkah ini dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan dan motivasi kepada golongan profesional dalam sektor awam yang menyumbang kepada kelancaran pentadbiran negara, namun terhad dari segi laluan kenaikan pangkat.