Komposer lagu Antara Gadis meninggal dunia

Iklan
Allahyarham Afzainizam dibawa keluar dari Masjid Taman Bukit Bendera untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Kapor pada Jumaat. Allahyarham Afzainizam (kanan).

TEMERLOH - Komposer veteran popular dengan lagu ciptaannya, Antara Gadis dendangan kumpulan Dinamik meninggal dunia pada Jumaat.

Allahyarham Afzainizam Ismail, 75, menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di kediamannya di Taman Bukit Bendera dekat Mentakab di sini.

Iklan
Iklan

 Anak Allahyarham, Putra Aniza Afzainizam, 50, berkata, pada Khamis malam ibunya, Noraini Sheikh Mohamad, 73, ada memaklumkan keadaan ayahnya yang mengadu pening. 

Putra Aniza

Iklan

"Malam tadi (Khamis) ayah mengadu pening kira-kira jam 10.30 malam dan tidur. Kemudian pagi tadi (Jumaat) ayah minta sebiji panadol sebab sakit lagi kepala sebelum tidur semula.

"Tapi naluri ibu, dia masuk bilik dan tengok ayah sudah tidak bergerak dalam keadaan tidur kira-kira jam 8.15 pagi sebelum menghubungi saya," katanya.

Iklan

Putra yang juga penyanyi Kumpulan Anak Semantan ditemui di pekarangan Masjid Taman Bukit Bendera di sini pada Jumaat.

Ujar anak sulung daripada enam beradik itu, kali terakhir dia berjumpa ayahnya dua hari lalu dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

"Arwah ayah memang ada penyakit kencing manis tapi keadaan terkawal dan kalau ditanya pesannya, selalu minta kami semua jaga solat, jaga anak-anak dan keluarga.

"Dan arwah ayah sempat menyiapkan album kedua kumpulan kami, sentuhan terakhir sebelum meninggalkan kami semua," jelasnya.

Allahyarham Afzainizam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Kapor di sini selepas solat Asar.

Selain lagu Antara Gadis, Allahyarham Afzainizam yang juga komposer dan penerbit album popular pada era 1980-an dan 1990-an turut dikenali dengan lagu ciptaannya iaitu Aku Yang Kau Panggil Sayang dendangan penyanyi Khairool Idlan dan Dasira dendangan Oja.