KUALA LUMPUR - Kerajaan bakal menyalurkan RM150 juta bagi menambah baik prasarana sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz termasuk penggantian peralatan pengajian usang di institusi pondok berdaftar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini, terdapat lebih 300 sekolah pondok berdaftar dan hampir 160 yang dikenal pasti tidak berdaftar.
Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, ia antara usaha memartabatkan syiar Islam di negara ini dengan peruntukan keseluruhan bagi perkara tersebut sebanyak RM2.6 bilion.
"Selain tambah baik prasarana sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz, seramai 720 anak-anak tahfiz akan dibekalkan latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA yang boleh dimanfaatkan setelah tamat pengajian.
"Ia inisiatif mempertahankan kurikulum tradisional dan kita sedia menambah ilmu baharu seperti digital, kecerdasan buatan (AI) serta Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk masa depan anak-anak ini," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Anwar turut memberitahu, institusi masjid terus diimarahkan sebagai pusat komuniti antaranya kerajaan bakal memperkenalkan Anugerah Masjid Malaysia bagi mengiktiraf masjid cemerlang.
Jelasnya lagi, Konvensyen Masjid turut dianjurkan sebagai wacana antara imam, ulama, umara, sarjana Islam serta golongan teknokrat.
"Majlis-majlis ilmu diperbanyak bagi meningkatkan kefahaman umat Madani terhadap Islam. Ini termasuk penganjuran Majlis Sama’ Hadis 2026 untuk memberi peluang kepada umat Islam menghayati hadis-hadis Nabi Muhammad SAW yang diperdengarkan dengan bacaan penuh tartil oleh para ulama.
"Usaha Malaysia melalui Yayasan Restu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mencetak satu juta naskhah al-Quran ke dalam 30 bahasa utama dunia mendapat sambutan yang amat positif daripada masyarakat dunia.
"Kerajaan turut memperkenalkan Mushaf Madani sebagai sebahagian program tadabbur al-Quran di peringkat nasional. Seterusnya, kerja-kerja akan bermula untuk membangunkan Kompleks Madinatul Quran di Putrajaya," ujar Anwar lagi.