KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan (KPM) akan menerima jumlah peruntukan yang lebih besar iaitu RM66.2 bilion bagi tahun 2026 berbanding RM64.2 bilion pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, hampir RM2 bilion disediakan bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif khususnya di Sabah Sarawak, selain membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah.
Menurutnya, ia termasuk membaik pulih kemudahan murid dan bilik guru susulan kejayaan membaik pulih tandas, kantin, dan musolla dalam masa singkat.
“Sebanyak 38 buah sekolah baharu juga akan dibina untuk memenuhi keperluan penduduk setempat.
“Selain itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Jeram, Pahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Aik Hua, Perak juga akan dibina semula,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, projek sekolah turut akan disegerakan menggunakan bangunan sedia ada untuk kelangsungan pendidikan murid.
Jelasnya, pembinaan bilik darjah tambahan melalui kaedah sistem binaan berindustri (IBS) di sekolah sedia ada berjaya siap dalam tempoh maksimum enam bulan.
“RM100 juta disediakan bagi membina bilik darjah tambahan di lebih 100 sekolah berkepadatan tinggi. 350 buah kelas prasekolah baharu juga dibina di bangunan sedia ada dengan peruntukan lebih RM100 juta. Ini bagi mengisi kekurangan kelas prasekolah,” ujar beliau.
Tambah Anwar, kerajaan akan memastikan anak-anak keluarga susah mendapat pelajaran demi masa depan lebih baik dengan peruntukan RM150 juta Biasiswa Kecil Persekutuan untuk anak-anak sekolah.
Sejumlah RM870 juta diperuntukkan untuk Rancangan Makanan Tambahan bagi membekalkan makanan berkhasiat kepada 870,000 murid.
Pada masa ini katanya, Bantuan Am Persekolahan hanya diberikan kepada murid miskin sehingga tingkatan tiga dan kerajaan bersetuju memperluas bantuan itu kepada murid miskin sehingga tingkatan lima dengan jumlah peruntukan RM180 juta.
“Semua 5.2 juta murid sekolah kerajaan akan menerima RM150 Bantuan Awal Persekolahan dengan peruntukan RM800 juta.
“Mulai 2026, penyaluran bantuan akan dibuat di sekolah melalui guru kepada ibu bapa. Ini bagi memastikan hubungan baik antara guru dan ibu bapa demi pendidikan lebih baik anak-anak,” katanya.