Trump gagal menang Hadiah Nobel Keamanan 2025

Iklan
Maria Corina Machado, Donald Trump. Foto Agensi

OSLO – Pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2025 atas jasanya memperjuangkan demokrasi dan keamanan di Amerika Latin ketika rantau itu berdepan ancaman autoritarianisme.

Pengumuman rasmi dibuat oleh Jawatankuasa Nobel Norway di Oslo pada Jumaat, yang menyatakan penghargaan itu diberikan kepada Machado atas “usaha gigih memperjuangkan hak demokratik rakyat Venezuela serta perjuangannya menuntut peralihan aman dan adil daripada pemerintahan diktator kepada demokrasi.”

Iklan
Iklan

Machado, yang kini bersembunyi susulan ancaman serius terhadap keselamatannya, dianggap simbol keberanian dalam menentang pemerintahan Presiden Nicolas Maduro.

“Apabila kuasa autoritarian menguasai, amat penting untuk mengiktiraf para pejuang kebebasan yang berani bangkit menentang,” kata Jawatankuasa Nobel dalam kenyataannya.

Iklan

Kemenangan Machado itu hadir sebagai tamparan hebat buat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang sebelum ini mengharapkan pengiktirafan antarabangsa susulan kejayaannya memeterai perjanjian damai antara Hamas dan Israel perjanjian yang digambarkannya sebagai 'bersejarah' dan 'terhebat dalam tamadun manusia'.

Dalam tempoh 24 jam sebelum pengumuman Nobel, Trump dilaporkan berulang kali berkongsi artikel di platform Truth Social, menegaskan beliau layak memenangi anugerah itu atas usahanya membawa keamanan ke Gaza.

Iklan

Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, Trump mendakwa telah menghentikan tujuh peperangan termasuk konflik antara Rusia dan Ukraine yang masih berterusan.

Beliau juga memperkenalkan Pelan 20 Perkara untuk Gaza bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menurutnya mampu menamatkan 'ribuan tahun konflik'.

“Ia hari yang besar, hari yang indah mungkin antara hari paling hebat dalam sejarah tamadun manusia,” katanya ketika pelancaran pelan tersebut.

Namun, hubungan Trump dengan sekutunya dilaporkan semakin tegang, selepas beliau menggelar Presiden Rusia, Vladimir Putin, sebagai 'harimau kertas', dan menuduh Netanyahu 'sangat negatif' serta 'mengkhianatinya' berhubung kelewatan rundingan gencatan senjata.

Walaupun gagal memenangi Nobel, usaha Trump turut menerima sokongan dari pelbagai pihak, termasuk Forum Keluarga Tahanan dan Individu Hilang yang memuji peranannya membawa 'cahaya di saat paling gelap'.

Pakistan turut mencalonkan Trump atas peranannya membantu meredakan ketegangan antara Pakistan dan India awal tahun ini. - Agensi