KUALA LUMPUR - Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus melabur bagi pembangunan ekonomi bumiputera sambil memacu pertumbuhan inklusif untuk semua, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat, beliau berkata, sebanyak RM40 juta disediakan bagi mempercepat proses peningkatan skala syarikat bumiputera berpotensi tinggi.
Susulan penyatuan Ekuinas dan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB), Ekuinas akan membangunkan syarikat pelaburannya sehingga dapat disenaraikan dan diambil alih oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB)
Sementara itu, PHB memperkukuh pemilikan strategik bumiputera dalam hartanah dan perniagaan utama.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut mengambil langkah yang belum pernah dilakukan sebelum ini dengan menambah tanah Rizab Melayu seluas 50 ekar di Bandar Malaysia.
“Petronas selaku pemilik tanah Bandar Malaysia sedang merencana pelan pembangunan dan akan memulakan fasa pembangunan menjelang akhir 2026,” katanya.
Beliau menambah, Lapangan Terbang Subang dan kawasan sekitar yang strategik untuk industri aeroangkasa juga akan diterajui kerajaan serta GLC bagi memastikan kepentingan nasional dan penyertaan bumiputera diutamakan.
Pada masa sama, katanya, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menyediakan RM20 juta untuk program pembiayaan mikro bagi pesara, bagi memperkasa keusahawanan di peringkat komuniti.