Belanjawan 2026: Kerajaan setuju bentang RUU Antibuli untuk noktahkan buli - Anwar

Iklan

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 demi menoktahkan jenayah senyap terbabit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seluruh kekuatan dan tenaga jentera merentasi kementerian digembleng bagi mengekang gejala buli.

Iklan
Iklan

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE) sebagai rangka menyeluruh pencegahan buli di sekolah. 

"Ia termasuk memperkasa peranan guru dan murid melalui Program Amalan Sekolah Penyayang," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Iklan

Anwar memberitahu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meningkatkan keselamatan mahasiswa di kampus dengan menambah kamera litar tertutup (CCTV) dan menganjurkan program sahsiah serta kepimpinan sebagai bentuk pencegahan buli dan ragging (budaya buli).

Menurut beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)  menyediakan sokongan psikososial melalui sesi kaunseling berkelompok.

Iklan

"Kementerian Komunikasi melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan tahap kesedaran siber dalam kalangan murid sekolah," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, Rakan Muda pula menggerakkan ikhtiar Lawan Buli dalam kalangan belia di akar umbi.

Menurutnya, gejala itu sama ada di sekolah, universiti, tempat kerja mahupun di alam maya telah membunuh potensi, menanam trauma berpanjangan, malah 

meragut nyawa insan.

"Kita mesti putuskan rantaian kezaliman berkenaan sampai ke akar, melalui didikan empati dan penguatkuasaan tanpa kompromi," tegas beliau.