KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) bakal menerima peruntukan sebanyak RM21.7 bilion manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) RM21.2 bilion menerusi Belanjawan 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan ketika ini adalah keperluan meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara meliputi beberapa ikhtiar utama.
Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, RM6 bilion bagi tujuan menyelenggara dan membeli aset pertahanan termasuk perolehan baharu iaitu 'Medium, Short and Very Short Range Air Defence'; dua buah 'Multi Role Support Ship' serta 10 kenderaan Batalion Malaysia (Malbatt).
Selain itu, jelas beliau, RM1 bilion disalurkan bagi menyelenggara dan membeli aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta badan beruniform di bawah KDN.
"Ini merangkumi perolehan baharu iaitu 100 pikap 4x4 untuk risikan dan operasi polis; empat bot peronda 'Fast Patrol Vessel' Pasukan Polis Marin; serta sebuah pesawat udara 'Maritime Surveillance Aircraft' buat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
"Ketiga adalah membina dan menaik taraf fasiliti baharu badan beruniform dengan kos lebih RM1.5 bilion, antaranya Kompleks APMM Negeri di Tok Bali, Kelantan; Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak serta Balai Polis Lawin di Gerik, Perak.
"Selain itu, pembaharuan Kompleks Bersepadu APMM dan Pasukan Polis Marin, Labuan; Kompleks Zon Maritim Kudat, Sabah dan Pusat Latihan Artileri Kem Syed Sirajuddin Gemas, Negeri Sembilan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Bukan itu sahaja, Anwar memaklumkan, ia termasuk menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh di Miri, Sarawak; bangunan tambahan Batalion 23, Pasukan Gerakan Am (PGA) Sri Aman, Sarawak serta tiga Pos PGA baharu di Sungai Nibong, Sungai Banting dan Sekinchan, Selangor.
"Seperti diungkap dalam hikmah klasik Tamadun China purba (dibaca) yang bermaksud, 'dalam damai, kita wajar berwaspada akan ancaman dan marabahaya'.
"Falsafah besar daripada karya sejarah agung dalam Catatan Musim Bunga dan Luruh berjudul Zuo Zhuan mengingatkan kita bahawa kebijaksanaan pemerintahan menuntut kesiapsiagaan, bukan kealpaan.
"Kestabilan hanya teguh apabila disertai keinsafan akan rapuhnya nasib bangsa sekiranya leka dan alpa," ujar Anwar lagi.