SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) melancarkan Kempen 'Anda Hero Asnaf' bagi memperkasakan kesedaran dan pelaksanaan zakat dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, inisiatif berimpak tinggi itu dirangka sebagai langkah proaktif untuk menyuburkan keberkatan dalam institusi pertahanan negara melalui kefahaman dan amalan zakat yang lebih menyeluruh.
"Melalui program ini, warga ATM diberikan penerangan, bimbingan dan kemudahan pembayaran zakat secara sistematik dan mudah diakses.
"KAGAT pula menjadi rakan strategik dalam menyampaikan kefahaman zakat, manakala LZS menyediakan platform kutipan, khidmat nasihat dan pelaksanaan skim potongan gaji zakat yang telus,” katanya ketika ditemui selepas Taklimat Khas Zakat bersama ATM Negeri Selangor di sini pada Khamis.
Menurut Mohd Khaidzir, program itu memberi tumpuan kepada tiga objektif utama iaitu meningkatkan kesedaran berzakat dalam kalangan anggota ATM, memudahkan pembayaran zakat melalui potongan gaji dan mengukuhkan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua institusi demi kebajikan asnaf.
Mohd Khaidzir berkata, kutipan zakat sepanjang tahun lalu melalui skim potongan gaji oleh warga ATM mencapai RM425,000 membabitkan seramai 393 anggota.
Katanya, hasil sumbangan itu, ATM layak menerima pulangan wakalah majikan melebihi RM53,000 yang akan dimanfaatkan bagi kebajikan dan kesejahteraan anggota di sembilan pusat terpilih di Selangor.
"Pada tahun depan, kita menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta dengan jangkaan wakalah majikan mencecah RM125,000.
"Ini bukan sekadar angka, tetapi bukti bahawa zakat adalah kekuatan untuk memberi dan melindungi mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya setiap anggota menyumbang hanya RM10 sebulan, mereka bukan sahaja menunaikan tuntutan agama tetapi turut bergelar Hero Asnaf.
Mohd Khaidzir menegaskan, LZS menyasarkan ATM menjadi agensi kerajaan pertama mencapai 100 peratus penyertaan potongan gaji zakat sebagai contoh inspirasi kepada agensi lain.
Beliau memberitahu, setiap sen hasil kutipan zakat bukan sekadar statistik, tetapi menjadi sumber kehidupan buat golongan asnaf yang diuji dengan kemiskinan, kehilangan pendapatan dan kesempitan hidup.
Sementara itu, Ketua Pengarah KAGAT, Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai berkata, program itu merupakan hasil pertemuan dan perbincangan antara pihaknya dengan LZS pada Julai lalu.
"Daripada perbincangan itu, kami melihat program ini amat penting untuk memberi kefahaman kepada warga ATM mengenai tanggungjawab berzakat," jelas beliau.
Menurutnya, KAGAT kini giat mengadakan siri jelajah ke seluruh negeri bagi memberi penerangan kepada pegawai serta anggota tentera berhubung kewajipan zakat.
"Kami sudah bermula di Pahang sebagai negeri pertama dan Selangor menjadi negeri kedua.
Selepas ini, kami akan teruskan ke Negeri Sembilan dan Melaka sebelum diperluas ke seluruh negara,” katanya.