KUALA LUMPUR - Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat kepada RM343.1 bilion pada tahun hadapan berbanding RM334.1 bilion, unjuran tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di bawah Madani kerajaan konsiten menurunkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus pada 2022, 5 peratus (2023), 4.1 peratus (2024) dan bertekad mencapai 3.8 peratus (2025).
Menurutnya, defisit fiskal dijangka terus menurun kepada 3.5 peratus pada tahun 2026.
"Penurunan defisit bermakna jumlah hutang baharu turun dan terkawal daripada RM100 bilion (2022), RM92 bilion (2023), RM77 bilion (2024), sekitar RM77 bilion (2025) dan diusahakan untuk turun lagi tahun ini.
"Dengan disiplin berterusan, defisit fiskal tiga peratus mampu dicapai dalam jangka sederhana.
"Pada tahun hadapan, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat kepada RM343.1 bilion ketimbang RM334.1 bilion ringgit, unjuran tahun ini," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Jelas beliau, unjuran tersebut susulan komitmen Kerajaan Madani memberi keutamaan terhadap tatakelola dengan memperkenalkan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan yang masih mengikat kuasa Menteri Kewangan.
Beliau menambah, lazimnya cukai tambahan diperlukan untuk perbelanjaan tambahan bagi prasarana dan bantuan rakyat akan dikenakan cukai tambahan.
"Tapi kerajaan memilih untuk membaiki tatakelola, termasuk penyasaran subsidi tanpa menambah beban rakyat.
"Dengan menggunakan kaedah sedemikian, kita berjaya melaksana langkah pembanterasan rasuah, mengekang penyeludupan serta memecah tembok dan melumpuhkan kartel," katanya.