KUALA LUMPUR - Pengalaman membuat liputan berita jenayah dan mengikuti pelbagai operasi polis mendorong seorang bekas wartawan untuk beralih kerjaya dan menyahut cabaran sebagai pegawai polis.
Inspektor Percubaan, Nur Azmi Nordin, 26, berkata, peralihan kerjaya itu adalah kerana keinginan untuk memainkan peranan yang lebih luas dalam usaha pencegahan jenayah di negara ini.
"Ketika menjadi wartawan, saya melihat ketekunan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Yusof yang tidak pernah penat memberi nasihat kepada orang ramai.
"Ia membuka mata saya bahawa PDRM memainkan peranan yang sangat penting," katanya yang bercita-cita untuk berkhidmat sebagai pegawai penyiasat jenayah di ibu kota.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Bilangan 13 Siri 1/2025 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Sementara itu, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada empat cahaya mata tidak menghalang Inspektor Percubaan, Mahirah Alias, 40, dinobatkan sebagai pelatih terbaik.
Beliau yang berasal dari Lenggong, Perak berkata, kejayaannya hari ini didorong oleh sokongan padu daripada suami yang juga seorang anggota dan keluarga yang menjadi tulang belakangnya sepanjang sembilan bulan berkursus.
"Sebagai seorang isteri dan ibu dalam bidang yang didominasi lelaki, ia bukan mudah. Banyak cabaran yang perlu dihadapi tetapi saya percaya komunikasi adalah kunci untuk mengharungi segalanya, baik bersama keluarga mahupun pasukan," katanya.
Terdahulu, dalam ucapan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, seramai 345 Inspektor Percubaan telah menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor selama sembilan bulan di Pulapol Kuala Lumpur.
"Program latihan ini adalah suatu proses transformasi peralihan keperibadian dan perwatakan diri daripada orang awam kepada seorang penguat kuasa undang-undang.
"Ia terikat dengan peraturan dan disiplin bukan sahaja selaku penjawat awam tetapi sebagai Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
Beliau berkata, pelatih dibekalkan dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai integriti yang harus dijadikan pegangan hidup dan panduan dalam menjalankan tugas, melunaskan tanggungjawab dan amanah di lapangan.
"Jadilah pegawai yang jujur, tegas dan bijaksana dalam menegakkan keadilan serta menjaga maruah institusi PDRM," katanya.
Menurutnya, seiring perkembangan era teknologi digital, pelatih juga ditekankan untuk menguasai ilmu dan kemahiran mengadaptasi teknologi moden, khususnya teknologi kecerdasan buatan (AI) yang turut mengevolusi ancaman jenayah dan keselamatan.
"Penguasaan AI oleh warga pasukan membolehkan PDRM melangkaui potensi ancaman, melaksanakan usaha pencegahan dan memperkukuh benteng keselamatan demi kesejahteraan masyarakat," katanya.
Beliau berkata, kerjaya kepolisan adalah satu profesion yang sangat mencabar dari segi mental, fizikal dan emosi.
"Ia menuntut pengorbanan masa dan tenaga serta turut menguji ketahanan minda, kecekalan jiwa dan kredibiliti untuk berhadapan dengan cabaran jenayah masa kini yang semakin rumit dan kompleks," katanya.