SHAH ALAM – Kelewatan menyiapkan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Seksyen 3 di Kampung Jawa, Klang menjadi punca utama kesesakan lalu lintas semakin kritikal di laluan alternatif sedia ada khususnya pada waktu puncak.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Haulier Malaysia (AMH), Mohamad Azuan Masud berkata, kelewatan itu memberi kesan besar kepada ribuan lori kontena yang bergantung kepada laluan tersebut untuk pergerakan barangan dari pelabuhan ke seluruh negara.
"Disebabkan Seksyen 3 masih belum siap, semua kenderaan berat terpaksa menggunakan jalan sedia ada yang sudah tidak mampu menampung jumlah trafik semasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau memberitahu, akibat kesesakan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) terpaksa menghadkan pergerakan lori pada waktu puncak.
Beliau berkata, lebih 10,000 lori di bawah AMH menggunakan laluan itu setiap hari dan kelewatan menyiapkan lebuh raya itu menyebabkan operasi logistik menjadi semakin perlahan dan tidak efisien.
"Apabila lori terperangkap lama dalam kesesakan, penggunaan diesel meningkat, pemandu cepat letih dan penghantaran menjadi lewat dan ini semua menyumbang kepada peningkatan kos operasi," tambahnya.
Menurutnya, keadaan itu akhirnya memberi kesan kepada pengguna apabila pengusaha pengangkutan terpaksa menampung kos bahan api dan masa operasi yang lebih panjang.
"Kita bimbang peningkatan kos ini akan diterjemahkan kepada harga barangan. Industri logistik memang tak mampu terus menanggung kerugian jika kelewatan projek seperti ini berlarutan," jelas beliau.
Mohamad Azuan berkata, pihaknya difahamkan pembinaan Seksyen 3 sebenarnya boleh diteruskan dari sudut perundangan namun tertangguh atas faktor seperti bantahan penduduk.
"Kita harap kerajaan dapat campur tangan segera mempercepatkan pelaksanaan projek ini.
"Infrastruktur seperti WCE amat penting bagi mengurangkan tekanan trafik di kawasan tengah Semenanjung.
"Jika projek ini terus tertangguh satu atau dua tahun lagi, kesesakan di laluan sedia ada akan kekal kritikal dan masalah kelewatan penghantaran tidak akan dapat diselesaikan," katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan tentang kemajuan Projek WCE kini berhadapan dengan kelewatan akibat keengganan 19 pemilik tanah di kampung itu yang enggan mengosongkan kediaman mereka dan tidak bersetuju dengan jumlah pampasan diberikan.
Bagaimanapun, kesemua mereka sudah menerima 75 peratus daripada jumlah pampasan dan hak milik tanah juga sudah dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan melalui borang K (Pemberitahuan Pengambilan Tanah) di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 apabila proses undang-undang selesai sejak tahun 2023.
Difahamkan jumlah pampasan telah dianugerahkan adalah sebanyak RM9.8 juta melibatkan 33 pemilik tanah berdasarkan penilaian rasmi Pendaftar Tanah Negeri Selangor melalui Borang H selepas pendengaran tanah.