Bebas bersuara bukan 'lesen' sebar fitnah

Iklan
Komen beremosi, yang ditulis tanpa berfikir panjang, boleh membawa padah bukan sahaja kepada diri sendiri malah keluarga. Foto hiasan

KEBELAKANGAN ini, hantaran serta ruangan komen di media sosial menjadi ‘medan bebas’ bagi sesetengah individu melepaskan kemarahan, meluahkan pandangan tanpa tapisan, kadangkala menjadikan ia tempat menyebarkan fitnah dan kebencian.

Fenomena hantaran serta komen jelik dan hasutan membuktikan bahawa masih ramai belum memahami erti sebenar kebebasan bersuara dalam konteks undang-undang serta adab masyarakat.

Iklan
Iklan

Setiap kali isu sensitif atau politik tular, ruangan komen pasti menjadi tempat ‘perang’ maya.

Pengguna laman sosial berlumba-lumba menulis komen paling lantang, seolah-olah keberanian di papan kekunci melambangkan kebenaran yang mereka perjuangkan.

Iklan

Lebih membimbangkan, ada yang sanggup mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman, jelik, menabur fitnah dan menghasut.

Padahal, tindakan sebegitu bukan sekadar tidak beretika, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Iklan

Kes terbaharu, media melaporkan pada 6 Oktober lalu, polis menahan tujuh individu untuk siasatan berhubung hantaran di media sosial berunsur hasutan, ugutan, penghinaan, kenyataan menimbulkan kegentaran awam dan fitnah terhadap pemimpin negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, semua tangkapan dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 JSJ Bukit Aman, susulan tujuh kes penularan video di aplikasi TikTok dan Facebook.

Beliau menegaskan PDRM memberi amaran keras terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial atau kandungan digital yang boleh menimbulkan hasutan, ugutan, penghinaan atau kegentaran awam.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dikesan melakukan perbuatan sedemikian mengikut peruntukan undang-undang.

Sebagai masyarakat yang celik teknologi, pengguna laman sosial sepatutnya mampu menilai batas antara kebebasan bersuara dan penyalahgunaan platform digital.

Komen beremosi, yang ditulis tanpa berfikir panjang, boleh membawa padah bukan sahaja kepada diri sendiri malah keluarga.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa tindakan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu.

Pindaan tersebut membolehkan pelaku dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan di mahkamah.

Sebelum ini, media turut melaporkan tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bersama PDRM akan diambil terhadap mereka yang terlibat berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

Orang ramai boleh melaporkan insiden atau kandungan yang bersifat hasutan, provokasi atau yang menghina kepada MCMC.

Dalam pada itu, pendidikan digital perlu diberi keutamaan. Mendidik pengguna laman sosial agar lebih bertanggungjawab dalam menulis dan berkongsi maklumat yang sahih.

Dunia maya bukan ruang bebas tanpa sempadan, sebagai rakyat, kita seharusnya matang dalam menggunakan media sosial.

Setiap pengguna laman sosial harus sedar bahawa jari di papan kekunci mampu menentukan ‘nasib sendiri’, sama ada menjadi warganet berhemah atau pesalah undang-undang.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berdisiplin dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkongsian di media sosial bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang serta memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Jangan menaip sebelum berfikir.

*Ahmad Ismadi Ismail Wartawan Meja Jenayah