Belanjawan 2026 ujian sebenar hala tuju sukan negara

Iklan
Pekan berharap Belanjawan 2026 memberi tumpuan lebih bersasar terhadap pembangunan akar umbi serta kelangsungan ekosistem sukan negara.

PENGANALISIS sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berharap Belanjawan 2026 memberi tumpuan lebih bersasar terhadap pembangunan akar umbi serta kelangsungan ekosistem sukan negara agar terus mampan dan berdaya saing.

Menurutnya, setiap pembentangan belanjawan sukan saban tahun sememangnya memberi penekanan kepada kesinambungan program pembangunan atlet berprestasi tinggi, penyelenggaraan fasiliti sukan, Geran Padanan Sukan dan kini termasuk inisiatif Road To Gold (RTG).

Iklan
Iklan

“Belanjawan ini sahaja sudah meliputi kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan bajet sukan negara sekitar RM220 hingga RM230 juta setiap tahun. Kita memang tidak boleh harap lebih daripada itu,” katanya kepada Sukan Sinar ketika diminta mengulas hala tuju Belanjawan 2026.

Pekan menjelaskan, tahun lalu sebahagian peruntukan turut diagihkan kepada badan sukan terpilih termasuk FAM (RM15 juta) yang turut menerima tambahan RM15 juta daripada sektor swasta, kriket (RM1 juta) dan e-sukan (RM20 juta).

Iklan

Katanya, tumpuan belanjawan kebiasaannya selari dengan keperluan temasya utama seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik, yang menjadi keutamaan dalam kitaran tahunan pembangunan atlet negara.

“Belanjawan sukan kita ini memang memberi fokus kepada kelangsungan sukan agar terus mampan dan berdaya saing di pentas antarabangsa. Ini memang rutin setiap tahun,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun, dalam suasana ekonomi yang lebih mencabar, Pekan menyarankan supaya Belanjawan 2026 tidak lagi memberi peruntukan terlalu besar kepada bola sepak dan e-sukan, sebaliknya disalur secara lebih bersasar ke arah pembangunan jangka panjang.

“Belanjawan kali ini mesti mempunyai hala tuju yang jelas dengan memberi keutamaan kepada pembangunan di peringkat akar umbi. Kerajaan perlu menyalurkan dana yang sesuai kepada persatuan sukan kebangsaan dan negeri agar program pembangunan berjalan lancar, latihan tersusun serta wujud sistem pertandingan liga sepanjang tahun,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar peruntukan lebih besar diberikan kepada sukan yang berpotensi menyumbang pingat di pentas antarabangsa seperti olahraga, renang, terjun dan sukan kombat, selain angkat berat yang dilihat mempunyai peluang untuk meraih emas di Sukan Olimpik.

“Saya juga berharap kerajaan menyediakan peruntukan khas bagi memperbanyakkan lagi Liga Sukan Komuniti melibatkan pelbagai kaum demi mengukuhkan kembali peranan sukan sebagai agen perpaduan nasional,” katanya.

Dalam masa sama, Pekan menekankan kepentingan memperkukuh penglibatan syarikat korporat dan GLC dalam penajaan sukan, dengan kerajaan disaran menilai semula bentuk insentif cukai yang selama ini kurang menarik minat penaja.

“Kerajaan perlu memperkenalkan insentif baharu kepada pihak swasta untuk menggalakkan penajaan. Konsep pelepasan cukai sedia ada agak kompleks dan tidak lagi menjadi tarikan kepada mereka untuk menjadi rakan strategik,” ujarnya.

Belanjawan 2026 dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen hari ini.