Harap bajet untuk hidup, bukan hidup bajet

Iklan
Petani juga menunggu perhatian serius, kerana merekalah nadi makanan negara. Foto hiasan

HARI ini, seluruh negara akan menoleh ke satu arah iaitu Parlimen.

Hari yang ditunggu-tunggu setiap tahun, bukan sebab nak dengar angka trilion dan jargon ekonomi yang memeningkan kepala, tapi sebab rakyat nak tahu adakah belanjawan kali ini betul-betul bantu hidup mereka, atau sekadar cantik di kertas sahaja.

Iklan
Iklan

Merak Jalanan selalu dengar rintihan rakan-rakan yang mengeluh meski harga petrol menurun, harga barang masih meningkat dan tangga gaji pula masih di takuk lama.

Ramai yang kerja siang malam tapi belum sampai hujung bulan dompet hampir kosong.

Iklan

Bila sebut bantuan, rakyat bukan nak hidup dengan ehsan kerajaan, tapi nak sistem yang adil, upah setimpal, harga terkawal, peluang sama rata, dan masa depan yang boleh dijangka.

Merak Jalanan tak minta bulan jatuh ke riba. Cukuplah kalau kali ini bajet bukan sekadar ucapan panjang dengan tepukan gemuruh di Dewan Rakyat.

Iklan

Biarlah dasar yang diumumkan benar-benar memahami keperluan rakyat.

Yang duduk di atas perlu turun padang, dengar denyut nadi rakyat di bawah, lihat sendiri kesempitan hidup yang makin menghimpit.

Golongan muda berharap ada sinar untuk mereka bina masa depan, bukan sekadar skim sementara yang hilang bila kerajaan bertukar.

Penjawat awam menanti khabar gembira, peniaga kecil mengharap ruang berniaga tanpa tekanan, manakala pesara berharap wang pencen tak habis separuh untuk beli ubat bulan depan.

Petani dan nelayan juga menunggu perhatian serius, kerana merekalah nadi makanan negara.

Belanjawan ini bukan sekadar laporan kewangan negara, ia cermin keikhlasan kerajaan mendahulukan rakyat dalam ekonomi yang makin menggigit.

Harapan satu saja, biarlah setiap ringgit yang dibentangkan benar-benar sampai ke tangan yang betul.