Meru sandar taktikal mantap hadapi Seksyen 10 Kota Damansara

Iklan
Barisan pengurusan, jurulatih dan pemain SMK Meru bagi kempen Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2025.

TAHAP kecergasan dan disiplin taktikal pemain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru menjadi taruhan apabila menentang SMK Seksyen 10 Kota Damansara dalam aksi Pusingan 16 Terbaik Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) di JSA Setia Alam, Setia Alam Jumaat ini.

Pengendali pasukan SMK Meru, Mat Hassan Mat Rofi berkata, keupayaan mengekalkan tekanan tinggi sepanjang 60 minit permainan menjadi antara senjata utama wakil dari Kapar tersebut musim ini dan aspek itu terus diberi penekanan menjelang aksi penting peringkat kalah mati tersebut.

Iklan
Iklan

SMK Meru tekad menampilkan kesebelasan terbaik berdepan SMK Seksyen 10 Kota Damansara.

“Tahap kecergasan pemain menjadi kunci untuk kita bertahan dengan intensiti tinggi sepanjang perlawanan. Pemain juga diminta supaya tidak memberikan banyak ruang kepada pihak lawan, terutama di bahagian tengah,” jelasnya kepada Sukan Sinar.

Iklan

Beliau juga mengakui pasukannya tidak boleh leka berdepan Seksyen 10 Kota Damansara dari Petaling Jaya yang terkenal dengan gerakan serangan balas pantas dan berbahaya di ruang sayap.

“Kita perlu kekal fokus dan berdisiplin terutama semasa bertahan. Seksyen 10 Kota Damansara mempunyai kelebihan dari segi kelajuan, jadi organisasi bertahan perlu kemas dan tersusun,” ujarnya.

Iklan

Mengulas lanjut, Mat Hassan menambah kekuatan utama skuad Meru masih terletak pada barisan tengah yang menjadi nadi pasukan, sekali gus mengimbangi fasa serangan dan pertahanan.

“Kami sentiasa menerapkan pendekatan bina serangan dari bawah dengan kekuatan barisan pemain tengah sebagai enjin pasukan.

“Kepantasan transisi daripada bertahan kepada menyerang juga menjadi fokus utama latihan kerana di situlah peluang kami memerangkap pihak lawan,” katanya.

Saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan Sinar Harian sebagai media rasmi kejohanan.

INFO

Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15

Pusingan 16 Terbaik / Jumaat (10 Oktober)

- SMK Dato’ Harun lwn SMK Bandar Puncak Jalil

(Padang Unisel, 3.30 petang)

- SMK Meru lwn SMK Seksyen 16 Kota Damansara

(JSA Setia Alam, 3.30 petang)

- SMK Saujana Utama lwn SMK Seksyen 19

(Padang EV Arena Elmina, 3.30 petang)

- SMK Taman Medan lwn SMK Bandar Baru Bangi.

(Padang Astaka PJ, 3.30 petang)

- SMK Seksyen 9 lwn SMK Bandar Tun Hussein Onn 2

(Padang JSA Setia Alam, 3.30 petang)

- SMK Bandar Tasik Kesuma lwn SMK Dato’ Hamzah

(Padang Eco Majestic, 3.30 petang)

- SMK Bandar Seri Putra lwn SMK Taman Melawati

(Padang UKM ‘B’ Bangi, 3.30 petang)

- SMK Putra Perdana lwn SMK Kuala Kubu Bharu

(Padang SMK Putra Perdana, 3.30 petang)