Misi FFC x TMTG: Proses tribunal 9 rakyat Malaysia dijangka selesai malam ini

Iklan
Kamarul Zaman

SERDANG - Proses tribunal melibatkan sembilan delegasi Malaysia yang ditahan tentera Israel dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) X Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dijangka selesai tengah malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, semua rakyat Malaysia sudah menandatangani surat deportasi dan pihaknya masih menunggu laporan terkini dari peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) yang mewakili mereka.

Iklan
Iklan

"Saya yakin semua delegasi kita sedang menjalani proses (tribunal) itu walaupun pada awalnya kita tidak ketahui status dua delegasi.

"Sudah pasti pihak peguam sudah bertemu mereka semua, cuma maklumat terkini kita belum peroleh memandangkan perbezaan waktu," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MyCARE di sini pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kesemua 145 aktivis sudah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel dan peguam ADALAH telah berjumpa dengan sebahagian delegasi Malaysia yang ditahan dan proses guaman masih berlangsung.

Peguam juga telah mengemukakan permohonan untuk bertemu dengan dua lagi delegasi Malaysia pada awal petang Khamis.

Iklan

Dalam pada itu Kamarul Zaman memaklumkan, pihaknya sudah bertemu dengan pegawai Kementerian Luar Negeri bagi menyalurkan maklumat terkini keadaan rakyat Malaysia serta proses membawa mereka pulang ke tanah air.

"Kita belum ada maklumat delegasi Malaysia akan dibawa pulang dari mana, sama ada Jordan, Turkiye atau terus di hantar ke Malaysia.

"Kita dimaklumkan bahawa Wisma Putra sentiasa bersedia untuk membantu dalam proses berkenaan," ujarnya.