Lima murid SK Taman Permas Jaya 2 dijangkiti Influenza A

Iklan
Semua guru, murid dan PPM yang dijangkiti telah diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari bermula Rabu hingga 18 Oktober ini.

JOHOR BAHRU - Seramai lima murid Kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permas Jaya 2, disahkan dijangkiti Influenza A.

Exco Pendidikan dan Penerangan, Azman Tamin berkata, seorang guru dan seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) turut disahkan positif Influenza A.

Iklan
Iklan

Katanya, seramai 15 murid sekolah sama pula menunjukkan gejala jangkitan.

"Sementara itu, enam guru dan dua PPM lain disahkan bebas jangkitan dan dibenarkan bertugas seperti biasa.

Iklan

"Berikutan itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru mengeluarkan notis penutupan kelas PPKI selama 10 hari bermula jam 12.20 tengah hari pada Rabu hingga 17 Oktober ini.

"Notis penutupan ini dilaksanakan mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan kawalan dan pencegahan penularan penyakit,"katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Iklan

Aznan berkata, susulan itu, semua guru, murid dan PPM yang dijangkiti telah diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari bermula Rabu hingga 18 Oktober ini.

Menurut beliau lagi, pihak sekolah juga telah diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja sanitasi di kawasan terlibat.

"Warga sekolah yang bergejala diingatkan untuk segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan tidak hadir ke sekolah sehingga sihat sepenuhnya.

"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor melalui Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang akan memantau kebajikan, keselamatan dan kesihatan murid PPKI serta memastikan semua prosedur kawalan kesihatan dilaksanakan dengan sempurna," ujarnya.

Aznan berkata, pihak sekolah turut diingatkan agar terus menekankan penjagaan kebersihan diri dan persekitaran sebagai langkah pencegahan berterusan.

"JPN Johor akan terus bekerjasama dengan pihak PKD Johor Bahru dan agensi berkaitan bagi memastikan situasi ini terkawal serta tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan warga sekolah," katanya lagi.