Lelaki dipenjara 32 tahun, mengaku salah bunuh kanak-kanak dan wanita

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kes tersebut tiga tahun lalu.

SEREMBAN - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 32 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun, tiga tahun lalu.

Khalid Redza Shuib, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Iklan
Iklan

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika didakwa atas tuduhan membunuh pada tahun 2022, namun menukar pengakuan kepada bersalah di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Sebelum ini, tertuduh dan anaknya telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun terhadap tertuduh kerana menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan, Hanan Hasrul Izwan, berusia lima tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama anak perempuannya yang ketika itu masih di bawah umur di sebuah rumah di Taman Nee Yan, dekat sini, sekitar jam 7 malam pada 3 Mac 2022.

Iklan

Sisa rangka mangsa ditemukan dalam kawasan hutan berhampiran rumah tertuduh pada 7 April 2022.

Bagaimanapun, mahkamah telah melepaskan dan membebaskan anak perempuan Khalid Redza daripada pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas tertuduh kerana menyebabkan kematian Merriamah Abdullah Basam, 29, yang mayatnya ditemui di lereng bukit di Jalan Bukit Putus pada 20 Mac 2022.

Tertuduh didakwa melakukan jenayah itu antara 13 hingga 15 Mac tahun sama di rumah yang sama.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman terhadap tertuduh dijalankan secara berasingan.