Kes buli siber catat peningkatan ketara di Malaysia

Iklan
Nie Ching bergambar beramai-ramai selepas merasmikan Kempen KIS Peringkat Negeri Sembilan di SJK (C) Bandar Sri Sendayan pada Khamis.

SEREMBAN - Kes buli siber semakin membimbangkan apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)  menerima sebanyak 35,781 aduan berkaitan isu tersebut setakat 1 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 77.5 peratus atau 27,704 kandungan telah diturunkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, trend buli siber dalam tiga tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan ketara.

“Pada 2023, SKMM menerima 2,704 aduan dan 1,763 kandungan diturunkan (65.2 peratus), manakala pada 2024, jumlah aduan meningkat kepada 11,385 dengan 8,756 kandungan diturunkan (76.9 peratus).

Iklan

“Peningkatan ini jelas menunjukkan bahawa buli siber bukan sahaja semakin meluas, tetapi juga semakin menjejaskan masyarakat, khususnya pelajar dan golongan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Kempen Internet Selamat (KIS) Peringkat Negeri Sembilan di SJK (C) Bandar Sri Sendayan di sini pada Khamis.

Iklan

Nie Ching (dua dari kiri) melawat reruai yang disediakan sempena Kempen KIS peringkat Negeri Sembilan.

Katanya, tindakan proaktif melalui pendidikan digital, kesedaran awam dan pemantauan berterusan terhadap kandungan dalam talian perlu diambil segera.

“Oleh itu, adalah wajar bagi Kementerian Komunikasi melalui SKMM untuk terus memperluaskan KIS ini, bagi memperkasakan pengetahuan orang ramai tentang keselamatan dalam talian serta melindungi diri daripada ancaman siber.

“KIS amat bertepatan dan perlu diperluas bagi meningkatkan kesedaran, bukan sahaja dalam kalangan murid sekolah tetapi juga ibu bapa, pendidik dan penyedia platform, tentang kepentingan mengamalkan etika dan keselamatan dalam penggunaan Internet,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak 31 sekolah rendah sekitar Seremban terlibat dalam program KIS yang berlangsung pada Khamis dengan penyertaan seramai 310 orang pelajar Tahun Empat hingga Tahun Enam.

“Pelaksanaan ini amat bermakna kerana ia melengkapkan keseluruhan 479 buah sekolah rendah dan menengah di Negeri Sembilan yang telah menyertai program KIS.

“Ini sekali gus menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri pertama yang berjaya melaksanakan KIS secara menyeluruh di semua sekolah,” katanya.

Tambah beliau, kementerian menyasarkan kempen KIS dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah seluruh negara secara menyeluruh bagi menangani cabaran keselamatan internet termasuk buli siber, penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu, perjudian digital dan paling membimbangkan, eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak yang semakin berleluasa.