Henderson tepis kritikan, nafi anak emas Tuchel

Iklan
Henderson bakal meraih penampilan ke-86 bersama England jika diturunkan menentang Wales.

PEMAIN tengah berpengalaman England, Jordan Henderson menegaskan beliau masih layak menyarung jersi kebangsaan selepas kembali dalam skuad kendalian Thomas Tuchel.

Beliau turut menepis kritikan yang mendakwa pemilihannya hanya bersandarkan reputasi dan jasa lama.

Iklan
Iklan

Pada usia 35 tahun, bekas kapten Liverpool itu kembali disenaraikan dalam skuad The Three Lions pada Mac lalu selepas 16 bulan tersisih.

Tuchel yang menggantikan Sir Gareth Southgate secara rasmi pada Januari lalu, memuji Henderson sebagai pemain bermentaliti juara dan berjiwa kepimpinan tinggi.

Iklan

Sejak memimpin England, Tuchel telah menurunkan Henderson sebanyak empat kali dan turut menyenaraikan namanya menjelang perlawanan persahabatan berdepan Wales awal pagi nanti (2.45 pagi waktu Malaysia) di Stadium Wembley, serta aksi Kelayakan Piala Dunia menentang Latvia di gelanggang lawan pada Rabu depan.

“Saya tahu apa yang mampu saya berikan kepada pasukan kebangsaan dan saya masih bersaing di tahap tertinggi.

Iklan

“Biarlah orang luar berfikir apa yang mereka mahu. Itu masalah mereka, bukan masalah saya,” ujar Henderson yang kini menjadi tonggak utama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Brentford.

Pada masa sama, Henderson menegaskan bahawa hanya pandangan daripada dalam kem England yang benar-benar bermakna baginya.

“Tanyalah pengurus, staf atau rakan sepasukan saya. Adakah mereka lihat saya sebagai penyokong tepi padang?

“Saya tidak fikir seorang pengurus elit seperti Tuchel akan memilih saya hanya untuk melambai bendera atau menjadi tukang sorak,” katanya.

Sebelum ini, Henderson yang berada di Liverpool selama 12 tahun mengakui penghijrahannya ke Liga Pro Saudi bersama Al-Ettifaq pada 2023 sebagai sebagai satu kesilapan.

Namun, perjalanan singkat selama enam bulan itu berakhir dengan penghijrahan ke Ajax Amsterdam, sebelum Henderson akhirnya menemui semula rentak bersama Brentford.