PYONGYANG – Korea Utara mengenakan tindakan keras terhadap wanita yang disyaki menjalani pembedahan implan payudara, dengan kerajaan pimpinan Kim Jong Un menganggap prosedur kosmetik itu sebagai 'tidak sosialis' dan 'berunsur kapitalis', lapor The Telegraph yang memetik sumber tempatan.
Pihak keselamatan dilapor menjalankan pemeriksaan ketat bagi mengenal pasti wanita yang menunjukkan perubahan fizikal mencurigakan.
Pemimpin jawatankuasa kejiranan turut diarahkan memantau penduduk setempat dan melaporkan mana-mana individu yang disyaki menjalani pembedahan kosmetik untuk siasatan lanjut.
Dalam peraturan semasa negara itu, sebarang bentuk pembedahan estetik seperti pembesaran payudara atau pembedahan kelopak mata berganda dianggap sebagai 'perbuatan tidak sosialis' dan dilarang sama sekali.
Mereka yang didapati bersalah boleh berdepan hukuman berat, termasuk penjara atau kerja paksa.
Langkah baharu itu diumumkan selepas seorang doktor bersama dua wanita berusia 20-an dihadapkan ke perbicaraan awam di dewan kebudayaan bandar Sariwon, wilayah Hwanghae Utara, pertengahan September lalu.
Doktor berkenaan dilapor tidak memiliki kelulusan perubatan penuh selepas berhenti sebelum menamatkan pengajian dalam bidang pembedahan.
Pendakwa raya berkata, dua wanita terbabit 'telah dicemari oleh adat borjuis' dan terlibat dalam 'tingkah laku kapitalis yang rosak'.
Dalam perbicaraan itu, hakim turut menegaskan bahawa tertuduh “tidak menunjukkan kesetiaan kepada organisasi dan kumpulan, sebaliknya terperangkap dalam sifat mementingkan diri serta menjadi ‘rumpai beracun’ yang menghakis sistem sosialis.”
Sebagai bahan bukti, pihak berkuasa mempamerkan alatan perubatan, silikon yang diseludup dan sejumlah wang tunai.
Menurut laporan Daily NK, sebahagian penduduk yang menyaksikan perbicaraan awam itu berbelah bahagi ada yang mengecam doktor terbabit kerana “melakukan apa sahaja demi wang”, manakala yang lain bersimpati dengan alasan bahawa beliau mungkin “tidak mempunyai jalan lain untuk mencari rezeki.”
Laporan sama menyebut bahawa ramai wanita di bandar Sariwon kini hidup dalam ketakutan untuk diperiksa sekiranya disyaki pernah menjalani prosedur kosmetik.
Pemerhati antarabangsa menilai tindakan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha berterusan rejim Korea Utara untuk mengekang pengaruh budaya luar dan memastikan rakyat mematuhi ideologi sosialis tulen yang digariskan oleh pemimpinnya.- Agensi