KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sumud Nusantara Malaysia memohon keizinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggerakkan gelombang kedua misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Gaza, Palestin melalui jalan darat Mesir.
Permohonan itu dibuat Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr Sany Araby Abdul Alim Araby ketika Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini pada Rabu.
“Saya tahu Datuk Seri ada hubungan baik dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan boleh memainkan peranan luar biasa yang tidak terjangkau oleh (pemikiran) kita.
“Kita tidak ada pilihan. Kami (Sumud Nusantara Malaysia) minta diberikan laluan dan bersedia untuk menggerakkan gelombang kedua, Insya-ALLAH,” katanya.
Sany Araby turut meminta Anwar untuk menjadi tonggak utama dalam memainkan peranan memperjuangkan Palestin.
"Kami juga meminta Perdana Menteri untuk menyarung jaket sebagai 'chief de mission' bagi membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel serta membina semula Gaza," ujarnya lagi.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di tanah air pada jam 10.07 malam, Selasa.
Khamis lepas, 23 aktivis tersebut ditahan rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Kesemua mereka dilapor dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada jam 6.45 petang waktu Malaysia pada Sabtu, sebelum tiba di Istanbul pada jam 8.40 malam waktu Malaysia.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (Mikeno); PU Rahmat Ikhsan, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (Estrella); Zainal Rashid Ahmad dan Muhammad Abdullah (Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (Free Willy).