SHAH ALAM - Tidak sampai 24 jam pulang ke tanah air, aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) terus kembali ke platform media sosialnya, ZRA Strim demi berjuang untuk Palestin.
Zainal Rashid atau lebih mesra dipanggil ZRA berkata, beliau memutuskan untuk kembali bersiaran dari studionya setelah tujuh hari tidak muncul secara langsung di media sosial.
"Saya selamat kembali (ke rumah) dan terus ke studio kerana semalam (Selasa) saya sudah keletihan selain, kita sudah tidak bersiaran selama tujuh hari.
"Kita akan terus memperjuangkan kisah Palestin sama seperti mana kita lakukan sejak 7 Oktober 2023.
"Hari ini genap 731 hari, kita tidak pernah berhenti bersiaran langsung mengenai Palestin sama ada di Facebook atau TikTok," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
ZRA sebelum ini dilaporkan selamat tiba di kediamannya awal pagi Rabu selepas sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1 pada malam Selasa.
Difahamkan beliau memilih untuk pulang secara senyap tanpa sebarang liputan atau sambutan.
Selain ZRA, seramai 26 sukarelawan GSF juga tiba di lapangan terbang tersebut pada waktu sama.
Daripada jumlah itu, 23 sukarelawan telah ditahan oleh tentera Israel selepas kapal mereka dipintas ketika menghampiri perairan Gaza.
ZRA turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan dan memberi sokongan kepada misi GSF serta Sumud Nusantara.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada 55 ribu orang yang mengikuti siaran langsung tadi.
"Kita akan terus berjuang memperjuangkan Palestin dalam naratif ZRA Strim dari hari ini sehingga Palestin merdeka," ujarnya.