KOTA KINABALU - Saksi ke-16 iaitu kanak-kanak kelapan memberitahu Mahkamah Koroner bahawa tiada sesiapa dalam dorm memujuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang menangis pada 15 Julai lalu.
Saksi berkenaan memberi keterangan itu dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina yang memasuki hari ke-19 di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, berdasarkan keterangan saksi, Zara Qairina dilihat menangis pada malam kejadian 15 Julai tersebut.
"Saksi berkata semasa Zara menangis, tidak ada ahli dorm yang pergi memujuk atau menenangkan Zara sebab ada pelajar mengatakan 'kasi biar dulu dia, kasi tenang dulu.
"Saksi menggambarkan Zara kelihatan seperti dalam emosi terganggu. Saksi kemudian mengesahkan ini membawa maksud emosi Zara terganggu selepas berjumpa dengan pelajar-pelajar di dorm lain," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada Rabu.
Sebelum itu, Mohd Syarulnizam memaklumkan bahawa saksi berkenaan mengenali Zara Qairina sebagai rakan biasa.
"Saksi memberitahu yang dalam semua almari bilik, hanya almari loker Zara saja yang rosak tidak boleh berkunci.
"Saksi berkata dia tahu Zara ada menulis diari di dalam sekolah dan dia sentiasa menulis di dalam bilik asrama pada waktu petang dan malam. Dia tidak tahu berapa buku diari yang Zara ada. Saksi berkata dia tidak pernah membaca buku diari Zara.
"Sebelum malam kejadian, saksi berkata dia tidak pasti sama ada Zara mempunyai konflik dengan pelajar lain di sekolah. Saksi berkata Zara tidak pernah mengadu kepada dia masalah persendirian," katanya.
Katanya lagi, saksi melihat Zara Qairina ke bilik dorm sebelah pada 15 Julai lalu dan difahamkan dia dipanggil berjumpa pelajar-pelajar di dorm lain berhubung kehilangan barang.
"Saksi sendiri tidak pergi ke bilik dorm tersebut. Saksi berkata semua ahli dorm ada, kecuali Zara semasa proses 'spot check' almari loker dan beg Zara.
"Tapi hanya beberapa orang pelajar yang terlibat dalam spot check. Saksi kata dia tidak terlibat dalam proses spot check tersebut. Cara spot check adalah dengan memeriksa loker dan beg Zara dari almari untuk mencari barang yang dikatakan hilang.
"Proses spot check mengambil masa kira-kira 15 minit. Barang-barang Zara dikatakan berselerak selepas proses tersebut. Selepas itu, saksi berkata mereka cuma jumpa lencana pin bendera seorang pelajar senior di beg Zara malam itu.
"Selepas kembali dari dorm sebelah, Zara kembali dan menangis dan menjerit menafikan tuduhan dengan kata-kata, 'Aku nda curi bah, sial'," katanya.
Mohd Syarulnizam bersama rakan sepasukannya iaitu, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James merupakan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.