SERDANG – [DIKEMAS KINI] Anak kepada dua delegasi Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) memaklumkan bahawa kali terakhir dia berhubung dengan ibu bapanya ialah pada jam 6 petang semalam, sebelum komunikasi dengan semua kapal misi terputus pagi ini.
Shamil, 40, anak kepada Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali dan Dr Fauziah Mohd Hassan berkata, dia menyedari sesuatu tidak kena apabila melihat penjejak lokasi kapal tidak lagi bergerak, sebelum mendapat maklumat rasmi melalui media sosial.
“Semalam kami ada buat video call dengan ibu dan ayah, dalam lebih kurang jam 6 petang waktu Malaysia bersamaan 12 tengah hari waktu mereka di sana.
“Mereka sempat beritahu ada nampak drone, tapi tidak pasti milik siapa. Ketika itu mereka masih berada di luar kawasan yang biasanya berlaku pintasan. Kami ingat mungkin masih sempat lagi berhubung hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat MyCARE, di sini pada Rabu.
Menurut Shamil, walaupun keluarga sudah menjangka risiko pintasan tentera Israel, namun tindakan yang berlaku lebih awal daripada jangkaan benar-benar mengejutkan mereka.
“Apabila tengok di Facebook dan Instagram, mula keluar maklumat bahawa kapal sudah dinaiki tentera Zionis, kami dapat agak kemungkinan besar memang dah kena intercept.
“Memang terkejut... walaupun kami sedar perkara itu boleh berlaku, tapi tak sangka seawal ini. Kami jangka mungkin esok, tapi rupanya berlaku sehari lebih awal,” katanya.
Tambah Shamil, selepas jam 10 pagi tadi, tiada lagi sebarang mesej atau panggilan diterima daripada mana-mana peserta misi termasuk ibu bapanya.
Katanya lagi, walaupun bukan kali pertama ibu bapanya menyertai misi kemanusiaan ke Gaza dan pernah ditahan sebelum ini, perasaan bimbang tetap ada, apatah lagi dengan situasi semasa yang semakin tegang.
“Nak kata dah kebal tu taklah, sebab kita tak tahu macam mana situasi sekarang. Kita boleh nampak layanan terhadap misi sebelum ini makin agresif.
“Ibu saya pernah masuk penjara sebelum ini, jadi ada kebimbangan kalau kali ini mereka akan lebih kasar terhadap peserta. Kami hanya mampu berdoa dan berharap kerajaan dapat melakukan apa yang perlu untuk mempercepatkan pembebasan mereka,” katanya.
Sebelum ini, MyCARE mengesahkan bahawa semua sembilan kapal dalam misi bantuan kemanusiaan FFC x TMTG telah dipintas oleh tentera Israel (IDF) di perairan antarabangsa pada pagi Rabu.
Antara mereka yang berada dalam kapal utama Conscience ialah Dr Mohd Alauddin dan Dr Fauziah, bersama tujuh lagi rakyat Malaysia.
Misi kemanusiaan itu membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan untuk rakyat Gaza, dan disertai oleh 150 peserta dari 25 negara, termasuk sembilan rakyat Malaysia.