Anwar kecam tindakan Israel tahan kapal FFC x TMTG disertai 9 delegasi Malaysia

Iklan
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Zionis Israel yang memintas dan menahan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) serta Thousand Madleens To Gaza (TMTG) di perairan antarabangsa pada pagi Rabu

Menurut beliau, kapal berkenaan yang turut membawa aktivis dan sukarelawan rakyat Malaysia telah dipintas sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia dalam satu tindakan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Iklan
Iklan

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa ini.

"Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Anwar turut menuntut agar semua aktivis dan sukarelawan Malaysia yang ditahan dibebaskan serta-merta, diberikan perlindungan sewajarnya, dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan.

Beliau menegaskan, Kerajaan Madani akan berusaha sedaya upaya melindungi keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi berkenaan serta bekerjasama dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka dalam kadar segera.

Iklan

Sebentar tadi, kesemua sembilan kapal bantuan kemanusiaan yang terlibat misi di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza ke Gaza, kini dilaporkan telah dipintas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika sedang menuju ke perairan zon merah.

Kesemua sembilan kapal bantuan kemanusiaan yang terlibat misi di bawah gabungan FFC dan Thousand Madleens to Gaza ke Gaza dilaporkan telah dipintas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika sedang menuju ke perairan zon merah.

Perkara itu disahkan oleh Pusat Kawalan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang memaklumkan kapal freedom flotilla bagi misi berkenaan telah dipintas pada jam 10.50 pagi waktu Malaysia.

Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat lanjut diberitahu dengan pihak MyCare akan mengadakan sidang media tergempar pada jam 12 tengahari nanti.

Menurut data pelayaran terakhir pada jam 04:00 UTC (11 pagi waktu Malaysia), kapal itu dikesan berada di koordinat 32°30.649′ N, 30°24.474′ E iaitu kira-kira lebih 120 kilometer dari pesisir Gaza.

Kapal itu dilaporkan bergerak pada kelajuan 4.32 knots knot dengan haluan 90 darjah.

Pelayaran FFC x TMTG merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.

Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.

Lapan delegasi Malaysia yang menaiki kapal Conscience milik FFC itu terdiri daripada ketua misi, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Kapal terbesar Conscience membabitkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCare manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini membabitkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia.