BERLIN – Datuk bandar baharu Herdecke, Jerman, Iris Stalzer kini dilaporkan berjuang untuk hidup selepas ditikam berulang kali dalam satu serangan kejam di jalanan, Selasa lalu.
Stalzer, 57, yang juga seorang peguam, dijadual memulakan tugas rasmi sebagai datuk bandar bulan depan selepas memenangi pilihan raya pada 28 September lalu di bandar berpenduduk kira-kira 23,000 orang itu, terletak di wilayah Ruhr.
Menurut laporan polis, kejadian berlaku pada waktu siang dan disifatkan sebagai serangan yang amat ganas. Anak angkat lelakinya yang berusia 15 tahun dilaporkan memberitahu pihak berkuasa bahawa ibunya diserang oleh beberapa individu di jalanan.
Akhbar Westfalenpost melaporkan, Stalzer ditikam sebanyak 13 kali, namun sempat merangkak pulang ke apartmennya yang mana anak perempuannya berusia 17 tahun juga berada di rumah ketika kejadian.
Siaran penyiar WDR menyebut, suspek masih bebas, manakala laporan lain mendakwa anak lelakinya dilihat dibawa polis dalam keadaan bergari.
Canselor Jerman, Friedrich Merz dalam kenyataan di media sosial berkata, “Kami menerima berita tentang satu kejadian tragik di Herdecke. Ia mesti disiasat segera. Kami bimbang akan nyawa Datuk Bandar yang bakal dilantik itu dan berharap beliau pulih sepenuhnya.”
Selepas kejadian, kawasan kejiranan itu dipenuhi anggota keselamatan, dengan sebuah helikopter mendarat berdekatan untuk membawa Stalzer ke hospital. Sumber keselamatan memberitahu agensi berita Reuters bahawa mangsa kini dalam keadaan kritikal.
Stalzer yang mewakili parti Demokrat Sosial (SPD) berhaluan tengah kiri, sebelum ini menewaskan calon Kesatuan Demokrat Kristian (CDU) yang berhaluan kanan tengah dalam pilihan raya tempatan.
Insiden ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan ahli politik di Jerman, selepas beberapa serangan ganas berlaku sebelum ini.
Pada 2019, Presiden kerajaan tempatan konservatif, Walter Luebcke, ditembak mati oleh seorang aktivis pelampau kanan di rumahnya.
Empat tahun sebelumnya, Henriette Reker ditikam sehari sebelum dipilih sebagai Datuk Bandar Cologne — juga oleh seorang ekstremis kanan — namun beliau terselamat dan bakal menamatkan perkhidmatannya tahun ini.
Satu kajian terkini mendapati enam daripada sepuluh ahli politik Jerman pernah mengalami keganasan sekurang-kurangnya sekali, manakala seorang daripada lima mengakui ia membuatkan mereka lebih berhati-hati untuk tampil di khalayak umum.-Agensi