SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) menuntut supaya kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat sepenuhnya skandal besar membabitkan dokumen palsu pemain naturalisasi yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti semua pihak yang terlibat dalam penyediaan serta pengesahan dokumen palsu, termasuk peranan yang dimainkan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meneliti kemungkinan wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau campur tangan politik dalam isu berkenaan.
“Siasatan yang telus menjadi lebih mendesak apabila FAM sendiri dalam kenyataan bertarikh 11 Jun 2025 mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam hal berkaitan dokumentasi pemain.
“Laporan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) amat jelas – pemalsuan ini bukanlah kesilapan teknikal, tetapi satu penipuan terancang,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Tambah beliau, laporan FIFA menunjukkan kelemahan ketara dalam sistem semakan dokumen bukan sahaja di peringkat FAM, tetapi juga dalam kalangan agensi kerajaan seperti JPN dan KDN.
“Kelemahan ini menggambarkan Malaysia seolah-olah gagal mempertahankan integriti serta kejujuran dalam urusan rasmi antarabangsa,” katanya.
Menurut Takiyuddin, FIFA dilaporkan telah berjaya mendapatkan sijil kelahiran asal nenek moyang pemain-pemain terbabit daripada Pejabat Pendaftaran di negara asal masing-masing, termasuk di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.
Sebaliknya, dokumen yang dikemukakan oleh FAM didapati telah diubah suai, dengan tempat lahir asal di luar negara ditukar kepada negeri-negeri di Malaysia seperti Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sarawak.
“Lebih mengejutkan, JPN Malaysia dilaporkan mengaku tidak pernah menerima dokumen asal pemain-pemain berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan sijil berdasarkan maklumat sekunder atau dengar cakap (hearsay).
“Pendedahan ini mengubah sifat kes daripada kesilapan pentadbiran biasa kepada penipuan dan pemalsuan dokumen rasmi negara – suatu kesalahan serius yang mencemarkan maruah serta reputasi Malaysia di mata dunia,” katanya.
Tambah beliau, seperti yang ditegaskan oleh FIFA, tindakan FAM tersebut jelas merupakan satu bentuk penipuan yang melanggar prinsip kejujuran dan integriti sukan antarabangsa.
“Jika FIFA sendiri boleh mendapatkan sijil asal dari luar negara dengan mudah, maka alasan bahawa FAM tidak dapat menyemak kesahihan dokumen adalah tidak munasabah dan tidak boleh diterima,” tegasnya.