Gunung Tahan berpotensi jadi destinasi pendakian bertaraf dunia - Exco

Iklan
Fadzli bersama 54 peserta mewakili 20 agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang menamatkan Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan 2025 di Jeti Taman Negara Kuala Tahan, pada Selasa. Foto PAHANG MEDIA

KUANTAN - Gunung Tahan berpotensi besar untuk dimajukan sebagai destinasi pendakian bertaraf dunia, kata Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal.

Ini kerana katanya, gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia itu kaya dengan keindahan flora dan fauna selain bentuk muka buminya yang menjadikan kawasan itu setaraf dengan destinasi pendakian popular di peringkat antarabangsa.

Iklan
Iklan

”Ramai yang belum tahu tentang Gunung Tahan kerana tidak banyak promosi tentang gunung yang berpotensi besar dimajukan sebagai destinasi pendakian terkemuka di dunia ini.

”Justeru Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan selama tujuh hari dilaksanakan untuk kajian dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri bagi menambah baik fasiliti di sepanjang trek pendakian gunung ini," katanya seperti dilaporkan PahangMedia.

Iklan

Fadzli sebelum itu turut serta dalam ekspedisi yang berjaya ditamatkan di Jeti Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut pada Selasa.

Fadzli Mohamad Kamal. Foto PAHANG MEDIA

Iklan

Tambah beliau, hasil ekspedisi yang disertai lebih 20 agensi kerajaan itu akan diperincikan melalui cadangan yang akan dikumpulkan daripada setiap peserta.

"Antara cadangan semasa sembang-sembang sepanjang ekspedisi ini termasuk menyediakan tapak perkhemahan dengan kemudahan lebih baik, tandas, bilik air, mungkin bekalan air, lampu dan sebagainya.

“Aspek kesiapsiagaan keselamatan tapak-tapak di kawasan itu turut diberi perhatian selain infra telekomunikasi termasuk cadangan memasang ‘repeater’ di kawasan tertentu," katanya.

Jelasnya lagi, semua cadangan itu akan diperincikan dan disusun dalam laporan penuh sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Pahang serta dipersembahkan kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ekspedisi membabitkan 54 peserta itu menempuh perjalanan sejauh 85 kilometer dengan tempoh pendakian antara enam hingga tujuh hari bergantung kepada kumpulan masing-masing.