Harga beras putih tempatan wajar dinilai semula

Iklan
PeSAWAH menerima banyak aduan termasuk kualiti BPT yang menurun. Kredit foto: Canva

ALOR SETAR - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menyarankan kerajaan menilai semula harga beras putih tempatan (BPT) dan harga belian padi yang disifatkan tidak lagi relevan dengan kos semasa, sekali gus menjejaskan pendapatan pesawah serta kelangsungan industri padi negara.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, kadar semasa harga BPT yang kekal pada RM2.60 sekilogram sejak tahun 2008 tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran sebenar yang meningkat lebih 50 peratus sejak penyasaran subsidi diesel dilaksanakan Jun lepas.

Iklan
Iklan

“Apabila harga lantai padi dinaikkan kepada RM1,500 per tan pada Januari lalu, sepatutnya harga beras tempatan juga disemak supaya berada pada kadar munasabah, sekitar RM3.20 sekilogram.

“Sekarang ia dijual bawah kos modal, menyebabkan pengilang dan pemborong tidak mampu bertahan sehingga timbul isu tukar kampit beras,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, walaupun kadar Self-Sufficient Rate (SSR) beras Malaysia kini sekitar 56.2 peratus, situasi pengeluaran BPT masih tidak stabil, malah pasaran kini kembali dipenuhi beras import selepas kerajaan menamatkan subsidi BPT bernilai RM150 juta pada Ogos lalu.

“Selepas enam bulan program subsidi itu, hanya 18 juta kampit terjual, kira-kira 75 peratus daripada sasaran 24 juta kampit.

Iklan

“Bila subsidi ditarik balik, stok BPT habis di pasaran dan pengguna beralih semula kepada beras import sebab murah,” ujarnya.

Menurut Abdul Rashid, pengeluaran BPT perlu dipertingkatkan segera bagi mencapai sasaran meningkatkan SSR kepada 75 peratus pada 2025 dan 80 peratus menjelang 2030.

Bagi memastikan industri padi kekal berdaya saing, PeSAWAH mencadangkan kerajaan menaikkan harga lantai padi kepada RM1,800 per tan dan mengapungkan harga BPT antara RM3.20 hingga RM3.80 sekilogram, sejajar harga pasaran serantau seperti Thailand dan Indonesia.

Harga beras tempatan wajar disemak supaya berada pada kadar munasabah. - Gambar hiasan

“Langkah ini boleh beri keadilan kepada pesawah, pengilang dan pemborong.

"Jika kerajaan bimbang tekanan kepada rakyat, naikkan Bantuan SARA kepada RM50 sebulan bagi ketua keluarga untuk menampung kos beras. Ini situasi menang-menang untuk semua pihak,” katanya.

Abdul Rashid menegaskan, untuk jangka panjang, perlunya pelaburan semula dalam sektor padi melalui R&D varieti baharu, pemodenan pengilangan dan mekanisasi ladang.

Mengulas mengenai kualiti BPT yang menurun termasuk beras cepat basi dan mudah hancur, PeSAWAH menerima banyak aduan.

“Saya tidak menolak kemungkinan beras tempatan dicampur dengan beras import gred rendah.

“Akta 522 memang membenarkan pencampuran, tetapi apabila pengilang tidak bertanggungjawab mencampur lebih banyak beras import murah, kualiti BPT jatuh dan pengguna hilang kepercayaan,” jelas beliau.

Katanya, kerajaan perlu memperketatkan kawalan terhadap beras import termasuk melalui mekanisme cukai, kuota atau sekatan sementara bagi mengelakkan pasaran tempatan dibanjiri beras murah yang menekan harga BPT.