NEW DELHI - Bekas Ahli Parlimen Pakistan, Mushtaq Ahmad Khan telah dibebaskan daripada tahanan selepas penculikannya bersama aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera rejim Israel baru-baru ini.
"Saya telah tiba di Jordan bersama 150 rakan lain. Kami dibebaskan selepas dipenjarakan selama lima hingga enam hari di gurun Negev yang terkenal di Israel,” kata Mushtaq dalam satu mesej video pada Selasa.
"Tahanan telah digari, dirantai dan ditutup mata oleh pihak Israel serta diseksa dengan cara yang paling teruk,” katanya.
"Kami melancarkan mogok lapar selama tiga hari bagi menyokong tuntutan kami,” kata Mushtaq, sambil menambah bahawa para tahanan tidak dibenarkan mendapat udara segar, air minuman dan ubat-ubatan.
Beliau berikrar bahawa perjuangan untuk membebaskan Palestin dan menamatkan sekatan Gaza akan diteruskan.
"Mushtaq kini berada dalam keadaan selamat bersama Kedutaan Pakistan di Amman,” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar dalam satu hantaran di platform media sosial X pada Selasa.
Dar turut mengucapkan terima kasih kepada"semua negara sahabat yang terlibat secara aktif dan membantu" dalam usaha membebaskan rakyat Pakistan itu.
Mushtaq, seorang ahli parti Jamaat-e-Islami Pakistan, menyertai misi flotila global itu bersama aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, untuk menamatkan sekatan kejam Israel ke atas Gaza.
Tentera Israel menahan ratusan peserta flotila secara tidak sah minggu lepas ketika kapal mereka yang membawa bantuan menghampiri wilayah Palestin. - Bernama